“SAYA harap pemain beraksi bersungguh-sungguh demi merangkul kejuaraan Piala FA untuk dihadiahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 4 Jun lalu dan menyambut kepulangan ke Terengganu selepas tempoh perkhidmatan baginda berakhir hujung tahun ini,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Sheikh Ahmad Tajuddin Yusoff.
Menurut beliau, sudah tiba masanya pemain membawa pulang trofi Piala FA ke Kuala Terengganu sebagai membalas kepercayaan kepada peminat yang sentiasa menyokong pasukan negeri tanpa berbelah bagi sejak awal musim.
Sheikh Ahmad Tajuddin yang juga penolong pengurus Terengganu turut mengharapkan pemain melupakan episod duka kekalahan kepada Kelantan 0-3 dalam saingan Liga Super sebaliknya fokus kepada final Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas kali terakhir merangkulnya 11 tahun lalu.
Katanya, bagi menguatkan semangat pemain menjelang pertemuan itu, PBSNT sudah mengadakan beberapa sesi motivasi untuk meningkatkan moral dan menyuntik semangat pemain supaya mampu beraksi dengan cemerlang dan melupakan episod kekalahan dalam kancah liga.
“PBSNT bertanggungjawab mengembalikan semula semangat pemain menjelang final dan saya percaya pemain sudah matang dan mampu beraksi dengan baik kerana pentas Piala FA dan Liga Super adalah dua saingan berbeza,” katanya.
Tiket berharga RM30, RM50 dan RM5 untuk kanak-kanak akan mula dijual pada Isnin, 6hb Jun 2011 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu dan juga di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.
Tiket yang dicetak sebanyak 85 ribu keping itu akan diperuntukkan sejumlah 30 ribu tiket untuk setiap pasukan dan selebihnya akan dijual di Stadium Bukit Jalil mulai Jumaat, 10hb Jun 2011. Sekiranya tiket masih ada, ia akan dijual pada hari Sabtu, 11 Jun 2011.
Para peminat boleh memasuki perkarangan Stadium seawal jam 4 petang