PERKASA akan bawa ahli dan penyokong-penyokongnya ke Perhimpunan Bersih yang dijadualkan di Dataran Merdeka pada 9 Julai depan demi keselamatan negara dan melindungi kepentingan rakyat.
“Jika perhimpunan itu berlaku,, kami akan tentang habis-habisan. Ini bererti pada hari tersebut akan berlaku pertembungan. Ini adalah untuk kebaikan,” kata Pengerusi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
Bercakap pada sidang media di parlimen, Isnin, Ibrahim berkata, Perkasa akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama 30 NGO Melayu pada Selasa untuk membincangkan mengenai Perhimpunan Bersih dari sudut keselamatan, kesan kepada ekonomi, pelancongan dan politik negara sebelum membuat rumusan langkah seterusnya.
Sidang media berkenaan diadakan oleh Konsesus Ahli Parlimen Bebas yang sepakat menentang Perhimpunan Bersih. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zaharin Mohd Hashim, Zulkifli Noordin (Bandar Baru Kulim), Mohsein Fadzil Samsuri (Bagan Serai).
“Mereka boleh buat secara aman di tempat tertutup, sebaliknya nak buat di tengah jalan ala Tunisia. Ini boleh timbulkan kekacauan. Saya tidak boleh bayangkan apabila terdapat orang yang ramai, macam-macam benda boleh berlaku seperti orang baling batu atau bakar kereta. Ini boleh mengancam keselamatan negara. Perkasa bukan nak timbulkan kekecohan, tetapi mahu menghalangnya daripada berlaku,” katanya.
Menurut Ibrahim, Perhimpunan Bersih itu dianjurkan oleh S Ambiga, bekas Presiden Majlis Peguam yang juga pernah menjadi peguam Lina Joy yang murtad. Selain itu dia juga terbabit dan Majlis Antara Agama.
“Dia antara orang paling vokal menentang ISA. Malah semasa Pilihanraya Negeri Sarawak yang lalu dia telah menghasut orang Sarawak supaya berhimpun sehingga dia tidak dibenarkan memasuki negeri itu. Jadi kita boleh persoal tindak tanduknya.
“Timbalannya yang membantu menganjurkan perhimpunan ini ialah Ahmad Sabu. Ini memperlihatkan PAS sanggup duduk di bawah Ambiga yang menyokong orang murtad dan berpakat demi kepentingan politik,” katanya.
Menurut Ibrahim, kebiasaannya pada bulan Julai, kedatangan pelancong dari Timur Tengah paling ramai dan jika perhimpunan berlaku ia boleh menakutkan mereka. Katanya apa yang berlaku pada 2007 adalah contoh terbaik di mana ramai peniaga menanggung kerugian akibat perhimpunan yang sama.
Sementara itu Zahrain berkata, Konsensus, di bawah aturan 18 (1) telah menghantar permohonan usul kepada Speaker supaya Perhimpunan Bersih itu dibincangkan di Parlimen. “Kami mahu parlimen menolak penganjuran perhimpunan ini atas alasan demonstrasi jalanan boleh mengancam keselamatan negara. Kita mahu parlimen buat keputusan supaya mendesak pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri dan Polis menghentikan usaha untuk mengadakan demostrasi itu.
“Kami tidak ada masalah jika mereka mahu mengadakan demonstrasi di tempat tertutup seperti stadium. Jika ia dibuat di jalanan, ia akan menimbulkan masalah. Apabila keluar perkataan seperti “ala Mesir” dan “ala Tunisa”, hasratnya sudah jadi lain. Kita tidak mahu sebuah program yang dianjur oleh NGO di “hijack” oleh parti politik yang bukan sahaja jadi pembangkang, tetapi sudah jadi penghasut pula.
“Ini bukan isu demokrasi tapi isu cari pasal. Ia berupa hasutan. Kalau bercakap mengenai demokrasi, ada bermacam cara kita boleh buat seperti menghantar memorandum atau membawanya ke parlimen, atau buat secara tertutup di stadium. Mengapa mesti buat di jalanan? Ini mesti ada niat jahat.
Zulkifli Noordin berkata dia tidak nampak sebarang justifikasi untuk mengadakan perhimpunan. “Kalau mereka kata pilihanraya tidak bersih, pembangkan sudah dapat lima negeri. Mereka boleh berkempen siang malam seperti yang dilakukan sekarang.
“Justifikasi mengatakan satu demonstrasi jalanan besar-besaran untuk mengubah sistem pilihanraya tidak ada langsung. Mereka telah diberi ruang mengadakan perhimpunan secara aman di stadium. Mereka kuasai Selangor dan boleh buat di Stadium Shah Alam. Kalau sekadar nak serahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong, buatlah temujanji dengan pihak Istana.
“Pada saya ada niat jahat dan agenda lain. Kita jangan lupa Anwar akan berdepan dengan pembelaan kes liwatnya pada 16 Julai di mana dia kena beri keterangan dan beri penerangan tentang alibi dia. Salah seorang saksinya ialah isteri tercinta, Datin Seri Wan Azizah. Anwar tak yakin Wan Azizah boleh tahan dalam kandang saksi,” kata Zulkifli.
Zulkifli berkata, pada 1998 ketika dia bersama Anwar, Ketua Pembangkang itu menggunakan perhimpunan rakyat di Masjid Negara untuk mewujudkan kekacauan. “Memang ada arahan buat kecoh, pukul wartawan dan bakar tempat tertentu. Pada 2007 kita sudah saksikan apa yang berlaku selepas perhimpunan yang dikatakan bersih itu.
“Inilah orang yang minta sistem pilihanraya yang bersih padahal parti dia sendiri tidak mengamalkan sistem yang bersih. Yang lawan kena tending dan yang tegur kena terajang. Dia sendiri tidak ada jawatan dalam parti, boleh jadi Ketua Umum. Jawatan itu tak ada dalam PKR. Apa justifikasi dia jadi Ketua Umum.