Translate

20/06/2011

Curang, lelaki dan pengalaman mereka...

View Image

Dalam keluaran lalu, Kucing Jantan ada menyenaraikan ‘pedoman penting mengendalikan telefon bimbit’ yang biasanya lelaki curang praktikkan untuk memastikan perangai buruknya itu dapat terus ditutup.

Mungkin kerana cara ia ditulis dengan sifat Kucing Jantan yang ada kalanya nakal dan gemar mencabar, ada yang menyalahertikan pendedahan itu sebagai mahu mengajar dan mengalakkan kecurangan.


Malah ada yang menganggapnya sebagai satu bentuk ajaran sesat. Kucing Jantan tiada niat langsung untuk berbuat demikian, apatah lagi mahu meruntuhkan institusi keluarga.
Dengan pendedahan itu, Kucing Jantan jangkakan yang akan marah ialah mereka yang berbuat curang atau berhajat berbuat curang kerana rahsia sudah terdedah. Lantas apa yang diharapkan ialah peluang untuk berlaku curang dapat ditutup.

Apa yang Kucing Jantan cuba kupas ialah realiti kehidupan yang diwarnai dengan pelbagai ragam dan kerenah, yang selalu mengitari kehidupan manusia. Kecurangan adalah antara kisah yang selalu kita lihat dan dengar.

Kucing Jantan harapkan pendedahan itu dilihat sama seperti polis yang mendedahkan modus operandi atau cara penjenayah melakukan rompakan. Tentu saja kita juga boleh anggap polis mengajar cara orang merompak.

Jenayah

Begitu juga siri drama jenayah seperti CSI (Crime Scene Investigation) yang begitu popular sekarang, yang memperincikan bagaimana jenayah dilakukan. Kisah sebenarnya ialah bagaimana polis dibantu dengan sains forensik menyelesaikan kes-kes jenayah tetapi sekali lagi ia juga boleh dilihat sebagai mengajar dan menggalakkan orang melakukan jenayah.

Tetapi Kucing Jantan tidaklah mahu berhujah panjang dalam soal itu. Kucing Jantan sentiasa terbuka dengan kritikan dan pandangan. Dan, sebagai menghormati dan menghargai pembaca, Kucing Jantan sertakan sebahagian luahan hati mereka.

Surat 1:

Dari artikel Ada rahsia apa dalam telefon bimbit lelaki? dan artikel sebelumnya, ia telah mengukuhkan pendapat saya bahawa Kucing Jantan adalah seorang lekaki cauvinis, tidak kuat pegangan agama, mementingkan diri sendiri, kurang rasa tanggungjawab sesama manusia dan mungkin mengimpikan kehidupan hedonistik ala-ala Hugh Hefner.

Ini simbolik dengan perangai dan kehidupan kucing jantan di lorong-lorong belakang rumah. Ia akan membuntingkan selagi ada kucing betina dan memakan anak jantannya sendiri yang sama warna atau serupa dengannya. Ini tipikal ‘territorial behaviour’ kucing jantan kerana takut dicabar oleh anaknya apabila besar kelak.

Kucing Jantan tidak perlulah menjadi ejen Dajal untuk memecah-belahkan institusi kekeluargaan yang sememangnya rapuh sekarang dengan menggalakkan orang lelaki untuk berlaku curang. Orang lelaki dahulu tidak perlu telefon bimbit untuk berlaku curang pun. Kadang-kala akibat daripada kecurangan, perkahwinan seterusnya berlaku ataupun bercerai-berai. Tetapi tidak semestinya perkahwinan baru membawa kebahagiaan.

Ini adalah kerana orang lelaki kerdil otaknya dan tidak pandai multi-tasking. Kebiasaannya, isteri pertama dan anak-anak terbiar kebajikan mereka, kehidupan menjadi haru biru dan ada yang mengalami trauma. Contoh-contohnya saya lihat sendiri berlaku kepada ahli keluarga saya.

Contoh pertama, ahli kelurga saya ini berkahwin nombor dua dengan staf tempat bekerja. Malang baginya, isteri kedua kuat main ilmu. Akibatnya sejak 20 tahun lepas hingga sekarang, ahli keluarga saya itu dan isteri pertamanya asyik sakit pelik-pelik. Hinggakan doktor-doktor di sebuah hospital swasta memanggilnya penyakit OGK (Only God Knows). Yang kaya hospital itulah.

Contoh kedua, ahli keluarga saya ini berkahwin dengan isteri kedua yang lagi hebat darinya (isteri pertama diceraikan). Bila ahli kelurga saya itu pergi bekerja, isteri kedua bawa lelaki lain balik rumah dan main sandiwara di dalam bilik tidur. Malangnya, anak lelaki yang bersekolah rendah masa itu nampak apa yang berlaku.

Contoh ketiga, ahli keluarga saya ini kahwin cerai, kahwin tinggal hinggakan tidak terhitung isteri-isteri serta anak-anak berapa dan di mana. Bab-bab tanggungjawabnya terhadap keluarga memang tiada.

Mungkin balasan dari Allah agaknya, beliau terlantar sakit di hospital selama setahun. Ibu mertua tiri terakhir agaknya sudah jemu, jelak dan menyampah menjaga beliau.

Akibatnya, ahli kelurga saya itu meninggal dunia di dalam keadaan daif dan penuh dengan kesengsaraan. Tiada anak-anak di sisinya semasa menghembuskan nafas terakhir.

Oleh itu Kucing Jantan, janganlah mengagungkan sangat idea perlakuan curang kerana keseronokannya hanyalah sementara tetapi akibatnya mungkin tiada siapa sanggup melaluinya. Ingatlah dosa pahala.

Berkahwin lebih daripada seorang boleh jika mampu berlaku adil dari segi kewangan, fizikal, batin, masa, mental dan spiritual. Saya rasa tidak ramai lelaki begitu, mungkin 0.00000001 peratus. Tetapi kubur kan asing-asing. Jangan Kucing Jantan jadi seperti kucing jantan tua berkurap, tidak disayangi sesiapa, terbuang, hidup segan mati tak mau sudahlah.

Oleh Kucing Jantan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...