Translate

27/06/2011

Aspek Pengurusan Stres Dan Konflik Ditekankan Dalam Kursus Kahwin


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu aspek pengurusan stres dan konflik diberi penekanan dalam kursus praperkahwinan bagi mengatasi masalah rumahtangga yang dilihat serius di negara ini.
Beliau berkata masalah rumahtangga boleh mengganggu-gugat kesejahteraan masyarakat dan negara, sekaligus membantut usaha kerajaan melahirkan belia yang boleh menjadi pemimpin yang mantap daripada segi akhlak dan akidah.

"Apabila berkahwin dan duduk di bawah satu bumbung, akan rasa perbezaan dalam pelbagai perkara di antara pasangan itu, yang penting kita bijak uruskan tekanan dan konflik itu bagi mengelakkan berlakunya perceraian," katanya ketika berucap pada majlis penutup praperkahwinan teramai di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini.

Kursus itu mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records apabila seramai 1,111 belia di kawasan Parlimen Pekan menyertainya.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata elemen-elemen baru dalam kursus perkahwinan membuktikan kerajaan amat serius dalam memelihara kerukunan rumahtangga terutamanya pasangan muda.

Selain itu, katanya kerajaan merencanakan pelbagai program untuk belia pada masa ini memandangkan golongan itu adalah pelaburan untuk masa depan negara.

Menurut Najib, program seperti Himpunan 1 Juta Belia di Putrajaya, Skim Rumah Pertamaku dan Parlimen Belia yang akan dilaksanakan tidak lama lagi adalah bukti serius kecaknaan kerajaan kepada golongan berkenaan.

Sementara itu, ketika berucap di majlis penutup sambutan Hari Keluarga Pertubuhan Ibu dan Bapa Tunggal Daerah Pekan di Dataran Pekan di sini, Najib meminta persatuan ibu tunggal di seluruh negara yang belum mendaftarkan persatuan mereka supaya segera berbuat demikian agar sumbangan kepada mereka mudah disalurkan dengan cepat.

Beliau berkata bantuan itu akan dapat membantu memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada golongan itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...