Translate

23/05/2011

RAKYAT DAN PEMERINTAH: HAK & TANGGUNGJAWAB - FASA I

(Kertaskerja yang ditulis oleh oleh Fuad Hassan dalam buku 1Malaysia Menjana Negara Sejahtera dan Bahagia Menjelang 2020, terbitan Centre for Glocal Concerns, 2010)


1. PENDAHULUAN
Setiap pemimpin yang baru menerajui bagi mana-mana organisasi atau negara akan menyajikan suatu gagasan atau teori politik yang diharapkan akan membuka jalan menuju kejayaan dan kemakmuran rakyatnya. Kesejahteraan hanya dapat diwujudkan dalam suatu sistem tata sosial di mana setiap individu bergantung kepada individu lain, dan memerlukan seseorang pemimpin untuk mengatur urusan kehidupan mereka.
Apabila Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia Ke-6 mengambalialih teraju pemerintahan, beliau telah meletakkan satu kerangka landasan demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia, dikenali sebagai Gagasan 1Malaysia.

Gagasan ini merupakan suatu proses kesinambungan pembinaan tamadun bangsa yang bermula dari usaha mencapai kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pembangunan luar bandar oleh Tun Abdul Razak Hussein, perpaduan bangsa oleh Tun Hussein Onn, Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Islam Hadhari oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan 1Malaysia oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Perdana Menteri dengan rendah diri mengakui bahawa gagasannya adalah satu penerusan dan berkesinambungan:
“Dalam erti kata lain 1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.”
Ini merupakan suatu proses kesinambungan dari rantaian pemimpin-pemimpin dari parti politik yang berkongsi pandangan pembangunan yang sama bagi membangunkan negara bangsanya yang masih muda ini. Perbedaan antara mereka adalah bagaimana masing-masing pimpinan menangani permasalahan menurut pendekatan dan penekanan semasa mereka.


Kertas ini dirangka berasaskan definisi konsep Gagasan 1Malaysia yang dinyatakan oleh YAB Datuk Seri Najib iaitu,
“….kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One people. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” (Datuk Seri Najib, Utusan Malaysia, 16 April 2009).
2. ASAS PEMBINAAN TAMADUN
Pembinaan sesebuah tamadun bangsa dalam sejarah peradaban manusia bermula dan berteraskan asas modal insan yang kukuh dan berkualiti. Kesedaran kepada hakikat dan fakta sejarah ini telah menyebabkan tamadun-tamadun besar sepanjang sejarah manusia memberikan tumpuan yang utama kepada pembinaan modal insan yang menjadi teras dan tunjang kewujudan sesebuah tamadun.
Dalam bukunya The Philosophy of CivilizationAlbert Schweitzer. menggariskan hubungan tamadun kebendaan dengan etika. Manusia bukan sahaja memerlukan kemajuan dari segi pertanian, perdagangan global, perbandaran, sistem pengangkutan canggih, perundangan, gaya kesenian yang tinggi, mercu tanda seni bina, astronomi dan sebagainya, tetapi juga etika kehidupan, cara dan gaya hidup, kepercayaan, nilai dan perlakuan dan budaya tinggi (High Culture).
Menurut beliau, sebab utama berlakunya krisis dunia pada tahun 1923 adalah akibat daripada manusia telah kehilangan konsep etika dalam ketamadunan yang membawa kepada "rudeness" atau kehilangan kehalusan atau "civility".
Penekanan kepada pembinaan modal insan sebagai teras tamadun dapat dilihat dengan begitu ketara dalam pemikiran Islam selaku salah satu tamadun besar suatu ketika dahulu yang memberi sumbangan yang bermakna kepada kewujudan tamadun Barat hari ini.
Islam menganggap pembinaan manusia dalam erti membina nilai-nilai murni dalam diri dan pemikiran manusia dan dalam masa yang sama menyekat sebarang anasir yang boleh merosakkan jiwa dan akal manusia, sebagai asas pembinaan masyarakat dan seterusnya tamadun bangsa. Bertitik tolak daripada keyakinan inilah Rasulullah s.a.w memperuntukkan selama 13 tahun di Mekah di awal kebangkitan Baginda s.a.w sebagai rasul bagi membina generasi muslim pertama di Mekah.
Dalam tempoh ini, tumpuan diberikan kepada pembinaan generasi melalui pengisian akidah tanpa disibukkan dengan soal-soal perundangan yang disempurnakan di Madinah setelah terbentuknya generasi muslim yang menjadi benih-benih yang akhirnya menumbuhkan ‘pohon’ tamadun yang dahannya menjulang tinggi ke langit sementara akarnya menjalar ke pasak bumi.
Pemikiran Islam berhubung kaedah pembentukan tamadun ini kemudiannya diterjemahkan dengan begitu jelas oleh Syaidina Umar al-Khattab yang merupakan salah satu nama besar dalam sejarah peradaban Islam kerana kejayaan kepimpinannya menumbangkan Parsi, kuasa besar tamadun dunia pada waktu itu.
Di dalam sebuah rumah di Madinah, ‘Umar al-Khattab (r.a.) duduk bersama dengan sekumpulan sahabat beliau. Beliau berkata kepada mereka, “cuba kamu bercita-cita!” Salah seorang daripada mereka berkata, “aku bercita-cita memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di medan jihad.”
Kemudian ‘Umar r.a berkata lagi, “cuba kamu bercita-cita!”. Seorang lagi sahabat beliau berkata, “aku bercita-cita agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat ku belanjakan untuk jihad fi sabilillah.”
‘Umar r.a berkata lagi buat kali yang ketiga, “cuba kamu bercita-cita!” Lalu sahabat-sahabat beliau berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”
Lalu ‘Umar r.a berkata, “cita-citaku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim pembantu Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat ku gunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”.
Proses pembinaan tamadun sesuatu bangsa yang berteraskan pembinaan modal insan ini merupakan proses yang memakan masa yang panjang dan perlu dilakukan secara berterusan dan penuh komited. Ini adalah merupakan kenyataan yang jelas terpapar dalam sejarah tamadun silam mahu pun tamadun Barat hari ini.
Tamadun Barat yang begitu gah dan menguasai seantero dunia hari ini sebenarnya melalui perjalanan yang panjang sebelum mencapai kemuncaknya pada zaman kini sebagaimana yang dijelaskan dalam laluan sejarahnya “...The Enlightenment is the name given to the age of reason, discovery and learning that flourish from about 1680 to 1820 and changed the way that people viewed the world.”

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...