Translate

29/05/2011

DAP tidak yakin dengan Pas

KUALA LUMPUR 28 Mei - Rancangan DAP untuk meletakkan calon Melayu mewakili parti tersebut pada pilihan raya umum akan datang mencerminkan rasa tidak percaya serta kurang yakin dengan kemampuan Pas serta sekutunya dalam pakatan pembangkang.
 
Penganalisis politik , Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (gambar) berkata, DAP terpaksa mencari alternatif lain sebagai strategi untuk memastikan orang Melayu menyokong parti tersebut memandangkan peranan Pas dalam pakatan tidak banyak membantu ketika ini.
"DAP dan Pas tidak pernah mempunyai persefahaman, malah keduanya selalu bergaduh mengenai pelbagai perkara. Walaupun sering menafikan tetapi rakyat bukannya bodoh untuk menilai lakonan tersebut.

"Kedua-duanya juga mempunyai ideologi yang bertentangan sehingga menyebabkan wujudnya perasaan prejudis dan prasangka buruk antara satu sama lain. 

''Jadi bagaimana mereka mahu melaksanakan usaha bersama sekiranya saling mencurigai," katanya kepada MediaUMNO-Online hari ini.

Menurut Kay Kim, tujuan utama DAP mengubah strateginya dengan memberi fokus kepada orang Melayu adalah untuk mendapatkan kuasa secara total.

Katanya, DAP sedar bahawa sekiranya mahu mendapatkan kuasa autonomi di negara ini, mereka perlu mendapatkan sokongan daripada orang Melayu.

Bagaimanapun, Kay Kim tidak pasti sama ada rancangan DAP itu akan berjaya atau sebaliknya kerana secara umumnya masyarakat Melayu terikat dengan pegangan Islam.

"Apakah perjuangan dan ideologi DAP itu bersesuaian dengan orang Melayu. Golongan itu dinaungi oleh hak serta keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sedangkan DAP pula sering kali mempertikaikan perkara tersebut.

"Sebenarnya semua ini terletak pada orang Melayu sendiri. Adakah mereka mahu menyokong perjuangan DAP yang ternyata bertentangan dengan amalan serta budaya Melayu atau teruskan perjuangan bersama Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti jasanya sejak negara merdeka lagi," jelasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...