Khamis, 28 April 2011

Usia pencen melepasi 58 tahun banyak implikasi buruk-MB


Kerajaan Terengganu berpendapat permintaan sesetengah pihak agar usia pencen kakitangan awam dilanjutkan sehingga 60 tahun boleh menimbulkan pelbagai implikasi buruk dalam sistem pentadbiran, terutama dalam aspek kualiti kerja.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya berharap cadangan itu tidak dilaksanakan kerana ia juga menyekat peluang kenaikan pangkat yang sepatutnya dinikmati oleh golongan muda yang lebih produktif.

“Apabila kita berkhidmat seawal usia 25 tahun, maka kita akan mencapai tahap pencennya. Kalau dulu 55 tahun, dinaikkan kepada 56 tahun dan akhirnya terbaru kepada 58 tahun, walaupun ada permintaan yang mahu sehingga 60 tahun, saya berharap ini tidak menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Buku Tiga Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan pembangunan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, ketika meniti usia lanjut pastinya ‘output’ semakin berkurangan tetapi gajinya begitu tinggi selain kakitangan yang mempunyai masalah dengan pihak pengurusan akan membawa masalah itu sehingga melepasi usia 60 tahun.

Malah, peluang kepada kakitangan awam yang lebih muda mengisi kekosongan menyebabkan mereka terpaksa menunggu tempoh masa yang lebih lama sebelum menunggu kakitangan berkenaan mencapai usia pencen.

“Sebab itu usia 58 tahun, satu jangka masa yang amat mencukupi bagi seorang penjawat awam. Lagipun pada usia itu bagi kita orang Islam ini sesuai untuk ke surau dan masjid serta menggandakan amal ibadat, mahupun meluangkan masa sepenuhnya bersama anak dan cucu,” katanya.

Selain itu, dua tahun sebelum usia pencen, kakitangan awam boleh merangka pelan tindakan yang boleh dilaksanakan ketika meniti usia selepas persaraan supaya masa emas itu lebih berkualiti dan memberi faedah.

Beliau berkata, keadaan berbeza kepada kakitangan swasta yang tidak tahu tempoh masa yang paling sesuai bagi mereka untuk menamatkan perkhidmatan berikutan senario ekonomi yang tidak menentu dan pelbagai perkara yang boleh berlaku di luar jangkauan.

Dalam majlis itu, Menteri Besar melancarkan buku sempena genap tiga tahun pentadbiran beliau sejak Mac 2008. Selain itu, 15 kakitangan WDI yang cemerlang menerima anugerah masing-masing bagi Januari hingga Mac.

Antara penerima anugerah berkenaan, Haji Abdul Manan Zainal Abidin (Pembantu Tadbir di Jabatan Kerajaan Tempatan, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)), Puan Zawiah Said (Pejabat Perbendaharaan Negeri), Haji Yusof Mahmud (Penolong Pegawai Tadbir Pengurusan Sumber Manusia Pejabat SUK), Puan Wan Rohani Wan Hashim (Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Pejabat Unit Pengurusan Maklumat Negeri).

Selain itu, Puan Zunaidah Jusoh (Setiausaha pejabat di pejabat Penasihat Undang-undang Negeri), Puan Noraini Ismail (Setiausaha Pejabat di pejabat pembangunan Negeri ) dan Encik Abdul Rahim Daud (jurukamera Unit Komunikasi Negeri).

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...