Translate

08/04/2011

Suami menghilangkan diri dirayu pulang

RHU RENDANG - Sebuah keluarga dari Rumah Murah Darat Pak Chan, dekat sini dirundung kebimbangan berikutan ketua keluarganya keluar dari rumah hampir dua minggu lalu tanpa sebarang khabar berita. 

Suami Fatimah Ibrahim, 62, Sana Ismail, 72, dilaporkan keluar dari rumahnya sejak 25 Mac lalu dan sehingga kini masih belum pulang menyebabkan Fatimah dan sembilan anaknya bimbang memikirkan keselamatannya. 

“Pada hari pertama dia hilang, saya tiada di rumah kerana keluar membantu seorang penduduk membuat persiapan untuk mengadakan kenduri, sejak itu dia tidak pulang-pulang. Saya bimbang keselamatannya sebab ini kali pertama dia keluar sebegini lama.
“Puas kami bertanya orang kampung, keluar mencarinya di merata tempat namun usaha kami masih belum berhasil. Tetapi dalam tempoh 10 hari ini, dia (suami) menghubungi mak cik sekali pada hari kedua dia keluar dan berjanji pulang pada minggu ini,” katanya. 

Fatimah berkata demikian di rumah menantunya di Rhu Rendang di sini, malam kelmarin. 

Bagaimanapun, katanya, janji suaminya itu hanya tinggal janji kerana dia masih belum pulang, menyebabkan Fatimah semakin bimbang dan cuba menghubungi suaminya semula untuk mengetahui perkembangan terbaru, tetapi gagal. 

“Saya merasakan mungkin telefonnya kehabisan bateri. Jika dia marahkan keluarga, kami minta maaf, tetapi mustahil dia marahkan kami kerana dia sendiri telah menghubungi kami dan memberitahu akan pulang dalam minggu ini,” katanya. 

Berikutan panggilan itu tidak terjawab, Fatimah dan ahli keluarga lain akhirnya terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Marang pada 2 April lalu dengan harapan suaminya dapat ditemui dan pulang segera kerana kesihatannya sudah mula terganggu. 

“Saya tidak mengetahui pakaian yang dipakai suami pada kali terakhir dia meninggalkan rumah, tetapi berharap kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenainya, dapat menghubungi kami menerusi talian 019-9058373 atau 013-9107235 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. 

Sinar Harian juga difahamkan oleh ahli keluarga ini bahawa warga emas itu turut membawa buku simpanan bank dan beg pakaian dipercayai berisi beberapa helai pakaian ketika keluar dari rumah di Kampung Darat Pak Chan pada 25 Mac lalu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...