Translate

05/04/2011

Model Baru Politik BN Tumpu Selesaikan Masalah Rakyat : Najib

KUALA LUMPUR, 25 Mac  — Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat berkata model baru politik Barisan Nasional bukan sahaja untuk memahami permasalahan rakyat tetapi menjurus ke arah menyelesaikanya dengan mengambil tindakan yang berkesan.
Perdana Menteri berkata ini berbeza dengan pendekatan lama di mana tumpuan lebih diberi kepada soal intra politik seperti urusan cawangan dan bahagian serta membuat desakan kepada kerajaan bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat.
Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata jika BN tidak faham dan tidak dapat merasai denyutan hati rakyat, maka parti itu tidak mungkin dapat mencari penyelesaian tepat menangani permasalahan yang dilalui rakyat.
“Inilah yang saya maksudkan sebahagian daripada model baru politik. Ya, ini kita tahu masalah rakyat, kita ambil tindakan untuk selesaikan masalah rakyat. Kita cari jalan penyelesaian kreatif dan kita tidak tunggu rakyat datang kepada kita tetapi kita pergi kepada rakyat.
“Inilah konsep kita. Semoga BN akan terus menjadi parti pilihan rakyat Malaysia,” katanya berucap melancarkan “BN Youth Job Fair 2011″ di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Najib berkata pada hemat beliau, transformasi politik akan menyokong apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan dalam soal transformasi ekonomi melalui Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.
Katanya transformasi politik bersandar pada model baru politik yang menuntut BN supaya lebih memahami persekitaran yang wujud pada hari ini iaitu perubahan struktural yang sedang berlaku dalam masyarakat.
“Kita menghadapi satu cabaran amat besar bagaimana memprojekkan (menonjolkan) BN sebagai parti yang tetap relevan kepada setiap zaman dan ketika…segar dan dinamik dan mampu berubah meskipun terus berkuasa. Tetapi tema perubahan itu tidak (harus) dilakukan oleh pihak lain tetapi obor ini dibawa oleh parti kita, BN,” katanya.
Menurut beliau, BN sebagai sebuah parti politik, tidak boleh berada dalam keadaan terlalu selesa dengan apa yang telah dilakukan dan dicapai selama ini.
“Kita sedia bawa perubahan kepada negara ini menerusi BN,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...