Isnin, 25 April 2011

Lapan Juvana Mengaku Salah Belasah Pelajar Sekolah Agama


MARANG - Lapan pelajar berumur antara 15 hingga 17 tahun pada Ahad mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh kawasan sekolah dan memukul seorang pelajar sekolah agama pada 7 April lalu. 

Kesemua tertuduh terdiri daripada empat pelajar Tingkatan Lima, seorang pelajar Tingkatan Empat dan tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Marang. 
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Mahathir Mohd Yusof secara tertutup di hadapan Majistret Nur Azizah Yusoff. 

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menceroboh sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di sini, antara 11 pagi hingga 11.30 pagi 7 April lalu. 

Perbuatan itu merupakan kesalahan bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk pertuduhan kedua, kesemua pelajar itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 17 tahun, pada masa dan tempat yang sama. 

Kesalahan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman satu tahun penjara atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Semua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,500 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan. 

Majistret menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak kesemua tertuduh.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...