Kerajaan negeri berhasrat menambah disiplin pertandingan `Kapas-Marang International Swimathon’ dengan acara larian sejauh kira-kira 50 kilometer, bermula dari Pantai Rantau Abang ke Pantai Kelulut, Marang, tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata acara baru itu bertujuan memperkenal keindahan pantai Terengganu serta kelebihan negeri ini yang mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, iaitu 244 kilometer.
“Pelepasan acara larian akan dilaksanakan serentak dengan program swimathon dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, ” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Kapas-Marang International Swimathon 2011, di Pantai Kelulut, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani; Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.
Datuk Abdul Rahin berkata , kejohanan yang melibatkan dua acara yang dijalankan pada hari yang sama itu bakal menawarkan hadiah yang meningkat sekali ganda, berbanding kejohanan pada tahun ini yang mengumpul hadiah keseluruhan RM43,900.
“Hadiah mungkin dua kali ganda dan RM50,000 lagi kategori pantai. Tidak banyak negeri yang mengadakan larian atau marathon melalui pantai. Terengganu menjadi negeri yang menganjurkan larian paling jauh (50 km).
“Dari hari ke hari kita akan panjangkan lagi jarak dan mungkin buat satu rekod berlari di pesisiran pantai yang terjauh mungkin seperti endurance (kuda lasak) yang mencapai 160 kilometer,” katanya lagi.
Katanya, kerajaan negeri meminta semua pihak dan jabatan termasuk Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Daerah Marang serta Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bekerjasama mengembleng tenaga bagi memastikan penganjuran kejohanan pada tahun depan mampu menarik penyertaan lebih ramai serta mencapai hasrat penganjurannya.
Menurutnya, acara larian dijangka lebih mudah dan tidak sukar berbanding berenang merentasi lautan bergelora kerana umum mengetahui Laut China Selatan mempunyai pelbagai risiko kepada perenang jika tidak menitikberatkan aspek keselamatan.
“Perkara utama adalah memastikan keselamatan peserta ketika merentasi lautan dan kecemerlangan peserta pada kejohanan kali ini amat mengagumkan sekali,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 20 peratus daripada 255 peserta pada kali ini melibatkan peserta asing termasuk dari Bosnia, Jerman, Hong Kong, Jepun, Rusia, Singapura, Afrika, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Daripada jumlah itu, 191 peserta daripada 10 kategori yang dipertandingkan berjaya mengharungi dan menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas menuju ke Pantai Peranginan Kelulut.