Translate

24/04/2011

Kerajaan Pusat Peruntuk RM200 Juta Untuk Kegiatan Seni Di Kelantan Dan Terengganu

TUMPAT, 23 April (Bernama) -- Kerajaan pusat menerusi Kementeri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah memperuntukkan RM200 juta untuk menggerak dan meningkatkan aktiviti kesenian di Kelantan dan Terengganu bagi tahun lepas dan tahun ini.

Justeru, Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta agar badan-badan budaya di kedua-dua negeri berkenaan mencari pendekatan yang sesuai untuk mengembangkan seni budaya tanah air, selain mengelakkan kegiatan itu daripada pupus.

Rais juga tidak mahu dasar kebudayaan di Kelantan menjadi penghalang kepada kementeriannya untuk mengembangkan kreativiti kesenian termasuk wayang kulit dan menora.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya dan Pelancaran Kampung Tanpa Wayar dan Komuniti 1 Malaysia, di sini Sabtu.

Rais sebelum itu merasmikan Seminar Wacana Warisan Masyarakat Siam 2011, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Datuk Abdul Ghafar Thamby.

Mengenai program pembangunan komunikasi dan teknologi maklumat, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM200,000 kepada Kelantan serta membekalkan komputer riba kepada pelajar.

Katanya sebanyak 12,000 unit komputer riba telah diagihkan kepada pelajar Kelantan termasuk pelajar keturunan Siam, yang merupakan kaum minoriti di jajahan Tumpat, dan 16,000 lagi akan diagihkan tahun ini.

"Program ini adalah untuk kepentingan rakyat selain mengurangkan jurang celik IT antara penduduk bandar dengan luar bandar.

"Ini sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menerusi prinsip 'Rakyat didahulukan dan Pencapaian Diutamakan," katanya.

Petang ini, Rais yang diiringi isteri Datin Seri Maznah Rais akan melawat Kompleks Budaya yang menempatkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara cawangan Kelantan di Taman Tanjung Chat, Kota Baharu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...