Translate

24/04/2011

Hampir Separuh Rakyat Malaysia Ditahan Di Luar Negara Kerana Dadah - Richard Riot

Hanya hiasan saja

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Daripada 1,880 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara setakat 31 Mac lepas, seramai 833 orang adalah bersabit kes dadah, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot.

Beliau berkata mereka terdiri daripada 675 lelaki dan 158 wanita yang ada di antaranya terpedaya menjadi 'keldai dadah' selepas berkenalan dengan lelaki warga asing khususnya warga Afrika menerusi laman sosial seperti Facebook.
"Facebook itu tidak ada masalah. Tetapi jika disalah gunakan boleh jadi musuh ketat. Saya minta kalau ada lelaki Afrika ini ingin berkenalan dalam Facebook, 'block' sahaja," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Riot berkata demikian ketika diminta mengulas kes terbaru membabitkan seorang pelajar kolej swasta dari Sarawak, yang kini ditahan di penjara di Shenzen, China, selepas dipercayai cuba menyeludup masuk dadah ke negara itu.

Mengulas kes tersebut, Riot berkata wanita itu dipercayai terpedaya dengan seorang lelaki warga Afrika bernama Michael yang dikenalinya menerusi Facebook.

"Lelaki itu memujuknya ke China dengan segala perbelanjaan ditanggung. Michael yang berjanji untuk membayar RM5,000 kemudian meminta dia menelan 100 biji dadah jenis heroin sebelum berlepas ke China.

"Pelajar itu kemudiannya ditahan di lapangan terbang Shenzen oleh pihak narkotik selepas menemui heroin dalam perutnya," katanya yang ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Keluarga Wisma Putra.

Riot berkata ketika ditemui wakil konsulat Malaysia di sana, pelajar terbabit meminta agar penangkapannya tidak beritahu kepada keluarga selain menolak bantuan guaman.

"Sebaliknya dia hanya meminta sedikit wang untuk membeli makanan di penjara," katanya.

Beliau berkata Wisma Putrajuga tidak boleh campur tangan dalam kes membabitkan undang-undang negara lain, namun akan membantu pelajar itu jika diminta oleh keluarganya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...