Translate

06/03/2011

Undi kaum India berjaya di”putih”kan, bagaimana pula kaum Cina?

Penulis mendapat khabar bahawa Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi banyak masalah bagi mengekalkan kemenangan di DUN Merlimau dan Kerdau pada dua siri PRK kali ini. Menurut khabar semuanya berada di dalam keadaan “tenang” seperti di PRK DUN Tenang sebelum ini, yang menyaksikan BN menang selesa di sana.
Sebenarnya, sebelum hari penamaan calon di kedua-dua DUN itu lagi, sudah ramai rakan-rakan penulis yang sudah “berkampung” di Merlimau dan Kerdau. Apatah lagi setelah kempen bermula, tentulah lebih ramai rakan-rakan seperjuangan penulis di sana. Meskipun lagi sehari dua tempoh berkempen akan tamat, penulis masih tidak berkesempatan untuk ke sana dek kerana dihimpit tuntutan kerjaya. Apapun, rakan-rakan di sana tidak putus-putus menyampaikan kepada penulis tentang perkembangan dari semasa ke semasa tentang kedua PRK di sana.

Menurut khabarnya, saingan tidaklah sesengit mana. BN mampu menang mudah di kedua-dua PRK. Mereka menyatakan bahawa, insyaAllah, BN menerima undi yang banyak dari pengundi berbangsa Melayu. PAS tidak mendapat sambutan di kedua-dua DUN meskipun mereka membawa Nik Aziz ke sana. Kaum India di sana juga menjanjikan undi tidak berbelah bagi kepada BN. “Kaum India di Merlimau dan Kerdau telah berjaya diputihkan“, kata mereka.
Penulis bertanyakan kepada mereka tentang undi dari bangsa Cina. Apakah mereka akan memberikan undi kepada BN? “No comment”, jawab rakan-rakan penulis. Namun, penulis ada menonton Buletin TV3 yang memaparkan seorang wakil MCA yang menjanjikan undi yang besar dari kaum Cina di kedua-dua DUN tersebut.
Boleh percayakah janji itu? Seingat penulis, janji sebegitu juga pernah diucapkan oleh wakil MCA pada PRU 2008, dan janji itu juga diulang pada PRK DUN Tenang baru-baru ini. Namun, apa yang dijanjikan itu tidak pula dizahirkan dalam bentuk bilangan undi. Undi dari kaum Cina merosot teruk pada PRU ke-12 dan masih ditakuk yang sama pada PRK DUN Tenang. Itu faktanya, bukan sangsi prejudis.
Penulis sebenarnya ingin sekali melihat bilangan undi kaum Cina di kedua-dua PRK DUN Merlimau dan Kerdau. Penulis tertunggu-tunggu untuk mengetahui peratus bilangan undi yang bakal “dihadiahkan” oleh bangsa Cina. Apakah mereka akan memberikan undi pada BN, atau itu sekadar sebuah lagi episod “wayang” dari MCA. Penulis pernah tertipu pada PRK DUN Tenang sebelum ini, dan penulis enggan ditipu sekali lagi pada PRK DUN Merlimau dan Kerdau kali ini.
Penulis sangsi dengan “janji MCA” pada kedua-dua PRK kali ini. Maafkan penulis. Jangan salahkan penulis di atas kesangsian ini. Kesangsian penulis berasas. Kesangsian itu hadir kerana apa yang dijanjikan MCA sebelum ini tidak terzahir pada PRU ke-12 dan PRK DUN Tenang yang lalu. Justeru itu, adalah penting untuk MCA membuktikan bahawa “janji” mereka itu ditunaikan melalui bentuk bilangan undi di kedua-dua PRK kali ini.
Kita telah diberitahu oleh pucuk pimpinan MCA yang diketuai oleh Chua Soi Lek bahawa kaum Cina sudah berubah dan pemikiran mereka tidak seperti dahulu. Mereka kini lebih bijak, katanya. Soi Lek juga ada menggariskan beberapa perkara dan isu di mana menurutnya tidak relevan lagi untuk digunakan. Isu itu termasuklah tentang “ketuanan Melayu” dan sebagainya.
Baiklah. BN tidak menggunakan isu-isu sebegini pada PRK DUN Tenang tempohari, dan undi dari kaum Cina tidak juga diperolehi. Tak mengapalah. Mungkin baru merancang strategi baru untuk memenangi hati kaum Cina.
Namun kali ini, isu-isu yang dilarang oleh Soi Lek itu juga tidak digunakan oleh jentera BN di PRK DUN Merlimau dan Kerdau. Dan penulis fikir, jika undi kaum Cina di kedua-dua PRK itu juga gagal diperolehi atau meningkat, maka MCA perlu menyediakan jawapan yang realistik dan “reasonable”. Soi Lek terutamanya, perlu menjawab lebih kerana dia Presiden MCA yang mewakili “majoriti” kaum Cina.
Penulis bukannya mengugut sesiapa atau mana-mana parti komponen BN. Tapi penulis ingin pucuk pimpinan BN mengukur sejauh manakah komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan oleh semua parti komponen. Dahulu mereka menyalahkan UMNO kerana parti Melayu Islam ini lemah dek kerana Presiden dan menantunya. UMNO terima dan sedia berubah! Dan kini UMNO semakin kuat, kukuh dan semakin digeruni oleh pihak pembangkang!
Bagaimana pula MCA? MIC sudah membuktikan komitmen mereka pada PRK DUN Tenang tempohari, dan khabarnya kaum India di Merlimau dan Kerdau juga telah di”putih”kan. Kini tinggal MCA sahaja membuktikan undi dari kaum Cina. Mampukah MCA membuktikannya?
Apapun, kita tunggu saja keputusan kedua-dua PRK kali ini. Tidak mengira siapa, undi dari kaum mana yang merosot, pastinya isu itu akan diperbincangkan selepas PRK di kedua DUN tersebut. Jika undi Melayu kurang, maka UMNO akan “menjawab”. Jika undi kaum India yang merosot, maka MIC perlu sediakan jawapan. Dan jika undi bangsa Cina yang merudum tidak meningkat, maka Soi Lek harus hentikan sindrom “salahkan orang lain” dan perlu akui kelemahan pada dirinya.
Selamat berjuang untuk UMNO, MIC dan MCA. Zahirkan kekuatan masing-masing pada undi dari rakyat, bukan “janji” sahaja. Itu yang terbaik pada pandangan penulis.
Wallahua’alam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...