Translate

29/03/2011

Terengganu Rancang Kelas Maya Di Semua Sekolah Dalam Tempoh Lima Tahun


Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk mewujudkan kelas maya di semua sekolah-sekolah di Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata menjelang akhir tahun ini saja kerajaan negeri akan mewujudkan 32 buah kelas maya iaitu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu. 
"Terpulang kepada wakil rakyat atau Pegawai Pembangunan DUN (PPD) untuk memilih sekolah mana untuk dibuka kelas maya di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengetua, guru besar dan Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) di Kuala Terengganu, semalam. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ahmad Said berkata untuk mewujudkan kelas maya ia memerlukan peruntukan antara RM25,000 dan RM30,000 untuk setiap kelas.

Jadi diharapkan ia boleh menggunakan peruntukan menerusi bantuan am dan bantuan projek kecil yang diperuntukkan kepada wakil rakyat atau PPD," katanya.

Katanya setiap wakil rakyat atau PPD diberikan peruntukan untuk projek kecil sebanyak RM1 juta manakala bagi bantuan am pula sebanyak RM500,000.

Beliau berkata, ketika ini Terengganu mempunyai tiga kelas maya iaitu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, kedua-duanya di Kuala Terengganu, manakala sebuah lagi di Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong, (Kemaman).


Pengajaran kelas maya merujuk kepada pengunaan peralatan multimedia secara interaktif dan guru tidak lagi menggunakan papan putih atau papan hitam, sebaliknya menggunakan 'smart board' yang dihubungkan terus ke talian internet dan e-Book murid.

Smart board itu juga mempunyai ciri-ciri skrin sentuh untuk menukar sesuatu halaman dan boleh mengesan kesilapan yang dilakukan murid.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...