Translate

26/03/2011

‘Siasat kes gelaran Datuk palsu’

KOTA BHARU - Majlis Jaksa Pendamai (JP) Kelantan menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes penganugerahan gelaran ‘Datuk’ palsu sepertimana yang didedahkan Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed baru-baru ini. 

Naib Presiden 1 JP Kelantan, Datuk Dr Mohd Kaisan Ab Rahman berkata, pihaknya mahu PDRM dan SPRM membuat siasatan terhadap pemberi dan penerima anugerah terbabit disiasat dalam masa terdekat bagi mengelak institusi kesultanan Melayu dipermainkan. 
“Kami menyeru PDRM dan SPRM mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas dalang-dalang di sebalik aktiviti pemberian gelaran Datuk palsu bagi memastikan institusi kesultanan Melayu tidak terus dipijak oleh pihak-pihak tertentu,” katanya kepada pemberita di pejabat JP, di sini, semalam. 

Sebelum ini, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dukacita dengan tindakan pertubuhan yang menganugerahkan pelbagai gelaran termasuk gelaran Datuk dalam dua majlis berasingan dengan setiap gelaran dibayar sehingga RM150,000. 

Susulan itu, SPRM sudah menahan dua individu didakwa dari Persatuan Kerabat Diraja yang dipercayai terlibat mengurniakan darjah kebesaran termasuk gelaran Datuk palsu kepada lebih 150 orang sejak tahun lalu. 

Mohd Kaisan berkata, sehingga kini terdapat 150 individu yang didakwa membeli pangkat Datuk palsu dengan nilaian ratusan ringgit dan ada antara mereka mereka sudah dipanggil dan disiasat polis. 

“Terdapat di kalangan mereka yang tidak tahu mengenai pemberian Datuk palsu ini dan apabila dipanggil polis baru mereka menyedari apa yang berlaku,” katanya. 

Beliau berkata, perbuatan berkenaan menyalahi undang-undang berdasarkan Perkara 43 (1) Undang-undang Perlembagaan yang menyatakan bahawa Sultan Kelantan adalah pangkal segala kemuliaan dalam negeri dan hanya Baginda berhak. 

Menurutnya, sebarang usaha yang boleh jejaskan nama baik institusi kesultanan Melayu perlu ditentang habis-habisan dan pelakunya perlu dihadapkan ke muka keadilan. 

“Perbuatan pihak tertentu menjual dan mengurniakan dengan sewenang-wenang darjah kebesaran termasuk yang membawa gelaran Datuk adalah satu penderhakaan kepada Sultan Muhammad V dan satu perlanggaran undang-undang negeri dan negara,” katanya. 

Menurutnya, masyarakat akan mempersoalkan jika kesalahan menjual gelaran Datuk ini tidak diambil tindakan sewajarnya kerana ia dilakukan dengan bukti yang jelas dengan berlakunya transaksi wang bagi mendapatkan gelaran itu. 

“Sangat malang bagi negeri ini jika pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang masih bebas menjalankan aktiviti, sedangkan peruntukan Seksyen 42 dalam Akta Pertubuhan 1966 yang menyebut mana-mana pemegang jawatan atau mana-mana orang yang akan mengurus adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 atau dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,’ katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...