KUALA LUMPUR 7 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat supaya menjadi pengguna yang bijak, mengamalkan perbelanjaan secara berhemat dan berusaha melindungi kepentingan sendiri dengan tidak terlalu bergantung kepada perlindungan kerajaan.
Titah Seri Paduka, sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak empat peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak satu hingga dua peratus.
Tuanku Mizan sehubungan itu bertitah apa yang berlaku adalah krisis makanan global dan sebagai negara pengimport makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ia sememangnya di luar kawalan kerajaan.
"Dalam keadaan ini, beta menyeru rakyat supaya lebih bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak, amalkan perbelanjaan secara berhemat dan berusaha melindungi kepentingan sendiri dengan tidak terlalu bergantung kepada perlindungan kerajaan," titah Seri Paduka pada perasmian mesyuarat pertama penggal keempat Majlis Parlimen yang kedua belas untuk tahun ini di sini hari ini.
Tuanku Mizan bertitah, kerajaan begitu prihatin terhadap keresahan dan kesusahan yang dialami rakyat di mana telah menyediakan peruntukan berjumlah RM10.3 bilion dalam bentuk subsidi bagi membolehkan rakyat memperoleh barang keperluan asasi harian pada harga yang berpatutan.
Seri Paduka juga bertitah, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia perlu peka terhadap faktor luaran seperti ekonomi global tidak menentu yang menjadi cabaran kepada usaha mengukuhkan ekonomi negara dan seterusnya usaha untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.