Translate

16/03/2011

Malaysia tidak perlu loji nuklear: Dr Mahathir

CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak perlu memiliki sebuah loji tenaga nuklear. 


"Anda tahu pandangan saya tentang hal ini. Kita tidak begitu arif mengenai reaksi bahan ini," katanya kepada pemberita bila ditanya tentang pandangannya berhubung loji seumpama itu.


Dr Mahathir berkata, radiasi yang bocor dari loji tenaga nuklear Jepun yang terjejas akibat tsunami setelah gempa bumi dengan magnitud 9.0, menyokong pandangannya itu.

"Sebaik saja dihidupkan, ia menjadi radioaktif. Orang tidak tahu bagaimana untuk mengendali bahan buangannya," katanya. 



Kerajaan, ketika diterajui Dr Mahathir, telah memutuskan empat strategi bahan bakar negara iaitu minyak, gas, arang batu dan hidro, bukannya nuklear. 

"Kita sudahpun mempunyai pengalaman buruk dengan nuklear. Saya tidak tahu apakah orang sedar tentang hal itu," katanya. 

Ditanya apakah beliau akan menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya tidak membina loji tenaga nuklear, Dr Mahathir berkata: "Saya bukan penasihat. Sebab itu saya gunakan blog." 
Malaysia bercadang membina dua loji seumpama itu yang masing-masing akan menjana kuasa 1,000 megawatt dengan loji pertama sedia untuk beroperasi pada 2021 dan yang kedua setahun kemudian. 

Ia adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga. 

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas melancarkan Bangunan Lestari Kumpulan EMKAY, di sini. - BERNAMA 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...