Translate

18/03/2011

Jangan Campur Aduk Bahasa Melayu - Rais

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia harus mengikis amalan mencampuradukkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam pertuturan kerana ia menjejaskan keutuhan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Namun, katanya, ia tidak menjadi masalah jika menggunakan perkataan Inggeris yang sudah diterima pakai secara rasmi.
"Yang menjadi masalah, kita seronok menggunakan separuh bahasa Melayu, separuh Bahasa Inggeris. Mencampuradukkan sekerat belut sekerat ular ini adalah sesuatu yang kita harus ketepikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Program Pembudayaan Bahasa kementeriannya di Kompleks Kraf di sini.

Pelancaran majlis tersebut disempurnakan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Rais. Turut hadir kedua-dua timbalan menteri kementerian Datuk Joseph Salang dan Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Rais berkata memandangkan Bahasa Melayu dan Inggeris "berlari" di atas landasan yang sama, maka "cedok mencedok" itu berlaku di mana Bahasa Indonesia juga mengalami masalah yang sama di negara jiran itu.

"Jadi soalnya di sini menceduk bahasa lain kena berhati-hati, sehingga menjadi rasmi, kita tak seharusnya memakai dahulu. Misalnya perkataan integriti dan universal sudah kita terima. Tapi perkataan lain seharusnya kita tidak gunakan.

"Contoh bila mengajak orang makan tengah hari kita (selalu) sebut mari kita pergi 'lunch'. Seharusnya ini tidak diamalkan, seharusnya yang kita kata kami menjemput (anda untuk) makan tengah hari," kata Rais.

Rais berkata istilah "pembudayaan bahasa" penting diterima sebagai pengertian baru kerana amalan pembudayaan bahasa boleh merancakkan lagi bahasa kebangsaan dalam kehidupan rakyat negara ini.

Katanya untuk menjayakan sepenuhnya program pembudayaan bahasa ini, tidak kurang 54 program akan dijalankan di seluruh negara melibatkan pelbagai aspek.

Katanya adalah penting melibatkan masyarakat bukan Melayu dan sektor swasta serta pelajar dalam program-program ini.

"Saya telah meminta izin Timbalan Perdana Menteri supaya sekolah-sekolah mengambil bahagian cergas dalam program pembudayaan bahasa ini," katanya.

Aktiviti berkaitan pembudayaan bahasa ini sedang dan akan dijalankan oleh 18 agensi kementerian ini seperti berbentuk bimbingan berbahasa, deklamasi puisi, pertandingan berbalas pantun dan komedi musikal.

-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...