KUALA TERENGGANU — Orang ramai terutama peniaga makanan di negeri ini meminta pihak berkenaan mengambil langkah segera menyelesaikan masalah harga santan yang semakin mahal.
Ini berikutan harga kelapa di negeri ini kini meningkat kepada RM1.70 sebiji manakala santan dijual pada harga RM7 hingga RM8 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu, Hasan Jusoh berkata kenaikan harga kelapa banyak bergantung kepada bekalan dan antara faktor yang menyumbang kepada masalah itu ialah pekebun kini lebih suka menjual kelapa muda kerana harganya lebih tinggi.
Katanya, bekalan kelapa di Terengganu sekarang ini memang berkurangan dan untuk menampung kekurangan itu, Fama mengimport kelapa dari Indonesia sebanyak 15 tan seminggu.
Katanya harga kelapa sekarang ini tidak stabil iaitu antara RM1.20 hingga RM1.70 sebiji. — Bernama