Translate

21/02/2011

PM kena guna perkataan 'bongok' di Merlimau...

Ketika lawatan kali pertama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Merlimau 14 Febuari lalu, ada orang kanannya memberitahu Agendadaily, bahawa keadaan di Merlimau ‘selesa’ berbanding dengan beberapa kawasan pilihanraya kecil sebelum ini.
“Datuk Seri Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) dah lama buat kerja di kawasan ini, semua urusan siap sebelum penamaan calon, lepas penamaan calon kita pergi bersalam dan cula undi saja,” kata beliau.
Sabtu pagi, ketika Agendadaily meliputi lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat lawatan ke DUN Merlimau yang terletak dalam Parlimen Jasin itu, kata-katanya itu terasa benar.

Di depan Politeknik Merlimau, sudah berdiri megah Pusat Operasi BN yang belon besarnya itu boleh dilihat dari jarak satu kilometer sebelum sampai.
Ada gerai dan tapak karnival, kali ini siap ada dengan kawasan permainan yang dikhaskan untuk kanak-kanak, hingga menjadikan Pusat Operasi BN itu tidak terasing sebagai tempat kegiatan politik semata-mata.
Perdana Menteri sendiri memulakan lawatan beliau dengan merasmikan Mula Kerja di tapak projek UiTM Melaka kampus Jasin di Seri Mendapat.
Asalnya kampus UiTM itu hendak dibina di Serendah Selangor, tetapi sebab kerajaan PR di negeri itu ‘banyak akal’ hingga menyusahkan berbagai-bagai pihak yang terlibat, maka ia dipindahkan ke Melaka.
Najib dalam ucapannya tidak berselindung membidas tindakan kerajaan Selangor yang menolak cadangan pembinaan kampus UiTM di tanah milik anak syarikat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Hulu Selangor pada Disember 2009.
Beliau berkata projek UiTM itu kemudiannya dipindahkan ke Seri Mendapat, di mana yang akan mendapat banyak faedah adalah penduduk Melaka.
"Saya begitu sedih apabila dengar kisah YBK yang ditubuh untuk tolong orang miskin dan anak yatim. Saya kata sampai hati kerajaan Selangor menzalimi sebuah yayasan untuk anak yatim dan orang miskin.
"Ini bukan soal pembangunan di Serendah, Hulu Selangor sahaja, tanpa kampus UiTM ini, orang Hulu Selangor yang rugi, yang untung orang Seri Mendapat, Jasin," katanya. 



"Bongoknya kerajaan negeri (Selangor)… tolak rezeki itu bongoklah," katanya.
Kampus UiTM Jasin yang dibina di atas tapak seluas 85.2 hektar (213 ekar) melibatkan kos RM297 juta dan akan dibangunkan oleh YBK Usahasama Sdn. Bhd. dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.
Najib turut membidas andaian pembangkang yang cuba menyamakan Malaysia dengan pergolakan yang terjadi di Mesir.
"Kenapa pula kita perlu berdemonstrasi di tepi jalan, kenapa pula kita perlu berarak ke sana sini, (sedangkan) anak bangsa kita ada masa depan yang lebih terjamin, ini perjuangan kita," katanya.
Menurutnya, tranformasi yang sedang dilakukan oleh kerajaan sekarang termasuk meningkatkan pelaburan dalam bidang pendidikan akan merealisasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
"Kalau orang kata Malaysia akan menjadi macam negara Mesir, akan bergolak, akan jadi panas kononnya.
"Malaysia tidak akan bergolak politiknya kerana kita (kerajaan) telah dapat memenuhi jangkaan rakyat. Kita telah dapat beri pengharapan kepada rakyat," katanya.
Di sebelah petangnya, Najib meluangkan masa bertemu para nelayan di Kuala Merlimau. Beliau mengumumkan peruntukan RM5.5 juta bagi menaiktaraf jeti di Kuala Merlimau.
Dalam ucapannya, Najib berkata peruntukan tersebut juga bagi meningkatkan kemudahan lain seperti bangkel membaiki bot, gerai menjual ikan dan medan ikan bakar, serta mendalamkan muara sungai.
Terdahulu, Najib yang disertai Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam melakukan "walkabout" di sekitar pekan Merlimau berhampiran.
Beliau bertemu dengan kira-kira 1,000 ahli NGO 1Malaysia yang terdiri daripada masyarakat Tionghua dan kaum India di Merlimau.
Dalam ucapannya, kata Najib, dia tak mahu janjikan apa-apa, kecuali ingatan “ lu tolong sama gua, gua tolong sama lu ,” katanya secara berjenaka yang disambut gelak ketawa daripada mereka yang hadir.
A. Patricia, 38, seorang pekerja kilang berkata, beliau sangat teruja berkesempatan bersalaman dan berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara.
"Saya sama kawan-kawan tunggu...mahu jumpa Perdana Menteri, dia sudah tolong banyak sama kita, masyarakat India antaranya buat sekolah baru jadi.
"Saya sama kawan-kawan tidak kisah tunggu berapa lama sekalipun, terima kasih kepada beliau kerana banyak tolong rakyat," katanya.
Lim Wei Kiong, 76, seorang pesara kerajaan berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan kerana banyak menolong rakyat dan berharap kerajaan dapat meneruskan pertolongan itu pada masa akan datang.
Dalam sibuk-sibuk Perdana Menteri bertemu rakyat, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bersama isteri Ketua Menteri Melaka Datin Seri Asmah Abdul Rahman sempat mengunjungi balu bekas ADUN Merlimau Allahyarham Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan di Kampung Tersusun, Lipat Kajang.
Rosmah, berpelukan dan mengucapkan takziah secara peribadi kepada Datin Noor Azian Mohd Ali, 52, yang kelihatan sebak sejurus isteri pemimpin negara itu tiba.
Berdasarkan mood awal, sokongan dan riak muka pemimpin yang ikut serta dalam rombongan Najib ini, mudah diramal bahawa Merlimau tetap akan kekal sebagai kerusi BN.
Tapi seperti selalu, pesan Najib kepada jentera parti, “satu undi pun penting, dan jangan ambil mudah. Kena kerja kuat pastikan BN menang lebih besar dari sebelum ini.” 19/2/2011

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...