KUALA LUMPUR – PAKATAN HARAPAN (PH) TIDAK PERLU BERLAKON untuk menunjuk kononnya bersimpati atau mengambil berat soal kebajikan penjawat
awam.
Ini kerana, sepanjang parti itu
memerintah kerajaan Persekutuan dari 10 Mei 2018 sehingga 23 Februari lalu,
pemimpinnya terutama dari DAP antara paling lantang mengkritik dan anti kepada
penjawat awam.
Menurut penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman
Yusof, apa yang ditunjukkan PH ketika ini bagaikan “CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN”, iaitu
selepas bergelar pembangkang, baharu hendak cakna pada segala-galanya.
“Tiba-tiba saja Majlis Setiausaha PH
(MSPH) buat kenyataan desak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya memperkasakan
perkhidmatan awam dengan memberi penghormatan sewajarnya kepada golongan itu.
“Selama ini merekalah yang lantang mengkritik dan menunjukkan sikap anti
terhadap penjawat awam.
“Tahniahlah PH atas lakonan yang paling
melucukan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dalam kenyataan media bertarikh 7 April
semalam, MSPH melahirkan rasa kesal terhadap perkembangan mutakhir ini
berkaitan pemecatan beberapa jawatan dalam agensi dan Syarikat Berkaitan
Kerajaan (GLC).
Tindakan Kerajaan PN memecat
jawatan-jawatan lantikan kerajaan sebelum ini daripada golongan profesional
pada masa ini adalah tidak wajar dan bukan keutamaan.
“Kami berpandangan kerajaan tidak seharusnya
bertindak melulu ketika negara sedang berhadapan dengan bencana wabak Covid-19
dan perlu menumpukan segala daya usaha dalam memerangi wabak itu dengan
meletakkan rakyat sebagai kepentingan utama, bukannya bermain agenda politik,”
kata kenyataan itu.
Kamarul Zaman yang merupakan bekas
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia kemudian
mendedahkan kenyataan pemimpin PH yang berbaur anti terhadap penjawat awam
sebelum ini.
Beliau mendedahkan kenyataan pemimpin
PH terutama DAP berhubung kritikan mereka terhadap penjawat awam;
1.Yang menuduh penjawat awam sebagai
membebankan kerajaan adalah pemimpin PH, khususnya Ketua Publisiti
DAP, Tony Pua (rujuk kenyataan bertarikh 25 Oktober 2016).
2.Yang menegaskan betapa kerajaan tidak perlu takut untuk memecat penjawat awam adalah
pemimpin PH, khususnya Exco Kerajaan Melaka, Kerk Chee Yee (18 September 2018).
3.Yang menegaskan keperluan untuk terus
melakukan proses pembersihan
kepada penjawat awam di kementerian-kementerian ialah
pemimpin PH, khususnya Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr. Ong Kian Ming (17
April 2019).
4.Yang mendesak kerajaan
supaya mengurangkan bilangan penjawat awam di dalam negara adalah
pemimpin PH, khususnya Ahli Parlimen Sarikei dari DAP, Wong Ling Biu (19
November 2019).
5.Yang menuduh penjawat awam
menjadi “deep state” dan mensabotaj kerajaan adalah pemimpin PH,
khususnya Lim Kit Siang, Dr. P. Ramasamy, Charles Santiago, Ronnie Liu, Khalid
Samad, Aiman Athirah dan Sivarasa Rasiah dari DAP, Amanah dan PKR (rujuk
kenyataan yang dikeluarkan sepanjang November 2019).
6.Yang memindah dan menyejuk-bekukan (cold storage) penjawat-penjawat
awam utama kerajaan, termasuk Ketua-Ketua Setiausaha
Kementerian ialah kerajaan PH (2018 dan 2019).
7.Yang mempersoalkan pemberian bantuan tunai RM500 kepada lebih 1.5 juta penjawat awam
adalah pemimpin PH, khususnya Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (28 Mac
2020). – MalaysiaGazette