BANGI, 20 Jamadilawal 1441H,
Khamis – Perdana Menteri, TUN DR
MAHATHIR MOHAMAD TERIKAT KEPADA JANJINYA UNTUK MENYERAHKAN KUASA kepada
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pensyarah Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Dr
Mahathir sebelum ini sudah beberapa kali berjanji akan berbuat demikian.
Beliau berkata, terbaharu, Dr
Mahathir menyatakan bahawa peralihan kuasa akan dilaksanakan, selepas
berakhirnya Sidang Kemuncak Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020, akhir tahun ini.
“Dalam konteks ini, Dr Mahathir telah banyak kali menyebut bahawa akan ada berlaku peralihan
kuasa, maka tidak wujud isu beliau akan memegang jawatan
sebagai PM selama-lamanya. Jadi, akhirnya beliau sendiri yang akan
menyerahkannya kepada Anwar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Terdahulu, Dr Mahathir sedia
melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri serta-merta jika Majlis Presiden
Pakatan Harapan (PH) mahu beliau berbuat demikian.
Beliau menjelaskan sebarang isu
berkaitan peralihan kuasa akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH yang
dianggotai empat parti iaitu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR,
DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Sebelum ini, beberapa Ahli
Parlimen PKR menuntut satu tarikh khusus ditetapkan untuk peralihan kuasa Dr
Mahathir kepada Anwar.
Mereka mencadangkan MEI
2020 ADALAH MASA SESUAI, bertepatan dengan tempoh dua tahun PH
memerintah.
Mengulas lanjut, Dr Nik Ahmad
Kamal yang juga penganalisis politik berkata, peralihan kuasa itu selaras
dengan persetujuan Majlis Presiden PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),
bahawa Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri sebelum diambil alih oleh
Anwar.
“Kalau majlis presiden sebulat
suara bersetuju untuk Dr Mahathir serah kuasa sekarang dan TIDAK
PERLU TUNGGU SELEPAS PERSIDANGAN APEC, seperti kata Dr Mahathir, beliau
perlu akur,” katanya.
Menjawab soalan sama ada negara
masih perlukan perkhidmatan Dr Mahathir, Dr Nik Ahmad Kamal berkata, terdapat
tiga kumpulan yang mempunyai pandangan berbeza.
Beliau berkata, kumpulan pertama
berpendapat bahawa mereka masih perlukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri,
kumpulan kedua pula mahukan Dr Mahathir untuk melepaskan jawatan, manakala
kumpulan ketiga berpendapat neutral iaitu berada di tengah-tengah.
“Mereka yang mahukan Dr Mahathir
untuk terus terajui negara akan tegaskan bahawa beliau diperlukan. Sebaliknya
golongan yang anggap DR MAHATHIR TIDAK DIPERLUKAN akan
berpendapat sebaliknya.
“Namun, akhirnya, sama ada Dr
Mahathir akan serah jawatan segera atau tidak, ianya bergantung dalam Majlis
Presiden PH. Ini amat bergantung kepada pandangan setiap parti dalam kerajaan
PH,” katanya.