Rabu, 19 Disember 2018

KATAK LOMPAT SEMAKIN GHAIRAH DIMUSIM TENGKUJUH

KUALA LUMPUR: KEPEMIMPINAN PAKATAN HARAPAN (PH) HARUS KEMBALI KE ‘PANGKAL JALAN’ dengan berusaha melunaskan pelbagai janji pilihan raya, berbanding sibuk memperkukuhkan cengkaman penguasaan kerusi di Parlimen.

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mengutarakan perkara itu mendakwa MASYARAKAT KETIKA INI ‘MENYAMPAH’ dengan SIRI GELOMBANG AHLI PARLIMEN UMNO BERTINDAK ‘LOMPAT’ PARTI untuk menyertai blok kerajaan.

Katanya, menerusi kaca mata pengundi yang ‘beralih arah’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tindakan sedemikian bukti pentadbiran PH lebih menekankan kepentingan memperkukuhkan dinamik penguasaan dalaman, BUKAN MEMBANTING TULANG MENGOTAKAN JANJI tatkala berkempen sebelum ini.

“Kita juga kehilangan nadi reformasi di mata penyokong tegar PH, malah tiada petunjuk bahawa penghijrahan beramai-ramai Ahli Parlimen UMNO berupaya memperkukuhkan cengkaman PH terhadap pengundi Melayu.

“Sebaliknya, ia menyuntik sentimen kemarahan meluap-luap dalam kalangan penyokong UMNO dan PAS terhadap PH, berbanding cuba untuk menawan hati melalui wadah ekonomi serta penyampaian khidmat berkualiti, kita sebenarnya menolak mereka (pengundi dan masyarakat) semakin jauh saban hari.

“Natijah sama yang bakal kita saksikan menerusi cubaan menumbangkan Kerajaan Perak dulu,” katanya menerusi warkah panjang lebar yang dimuat naik menerusi blog rasminya, hari ini.

Rafizi berkata, isu ‘pokok’ yang perlu diberi perhatian oleh PH ketika ini ialah penghijrahan Ahli Parlimen UMNO bagi menyertai parti blok kerajaan hanya bakal memperkasa pengaruh PAS sebagai entiti politik terbesar orang Melayu.

Berikutan badai melanda UMNO sehingga menyaksikan ia semakin lemah, katanya, lebih ramai pengundi Melayu ‘atas pagar’ dijangka bersedia memberikan mandat kepercayaan kepada PAS pada PRU seterusnya susulan kegagalan PH memenuhi janji berkaitan pengutuhan aspek ekonomi negara.

“Oleh itu, satu-satunya jalan untuk menyatukan perpaduan masyarakat dan membawa imej Malaysia yang sederhana ialah menumpukan wadah ekonomi dengan kembali kepada janji pilihan raya.

“Kita perlu serius dalam perihal memberikan kehidupan lebih baik kepada rakyat di negara ini, bukan terjerumus dalam kancah muslihat politik yang bertali arus oleh Malaysia lama.

“Tekad untuk meneliti semula usaha ke arah pembangunan negara harus dirintis daripada Majlis Presiden PH dengan memberi isyarat jelas bahawa gerakan membawa masuk bekas Ahli Parlimen UMNO perlu dihentikan,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...