Translate

12/09/2017

MAHATHIR PERLU INGAT: 10 MAHATHIR CAKAP 13 TIDAK BOLEH PERCAYA

APA LAGI TUN MAHATHIR HENDAK TUDUH PAS selepas ini. Semua orang tahu Tun seorang yang  pendendam, sukar untuk memaafkan. Jikalau dia sayang seorang, maka janganlah pula ada orang pergi jumpa beliau beritahu individu ini demikian, demikian. Beliau tidak akan terima. Malahan dia marah balik kepada pengadu. Kalau dia benci seorang sampai lubang cacing dia akan buru. Tentu kita masih ingat apa yang beliau tidak tuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu liwat. Beliau tetap buat tuduhan walaupun dinafikan berkali-kali.
Tun memang pendendam dengan PAS. Kerana Tun tidak boleh terima Islam yang hendak dibawa oleh PAS. Tun pernah tuduh ini hudud PAS, apabila dicabar mana pula hudud Umno, sehingga kini tidak terjawab. Ulama pengampu Umno tidak mampu untuk draf hudud ala Umno dan tolak hujah ulama PAS.
Tun Mahathir dendam dengan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sehingga selepas meninggal dunia pun Tun balun TG Nik Aziz di dalam ceramah di Tanah Merah, Kubang Pasu. Ceramah ini turut disertai oleh pemimpin Pan. Mereka kelu dan tidak berkata apa-apa walaupun Tun Mahathir hentam almarhum TG Nik Aziz. Mana dakwaan pemimpin PAN yang kata TG Nik Aziz ikon perjuangan mereka. Satu pembohongan.
Tun Mahathir pernah tuduh PAS lebih merbahaya daripada komunis, walaupun hakikatnya Siddiq Ghouse, Setiausah Politik Dr Mahathir ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran 1974-1975  ditahan ISA sebagai agen komunis. Tun pernah tuduh PAS ditubuhkan oleh penjajah, hakikatnya Umno adalah anak emas penjajah. 
Kerana ketika semua parti haluan kiri seperti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) diharamkan pada tahun 1948 sedangkan Umno berada di dalam dakapan penjajah. Sejarah yang jelas pun Tun boleh tipu, apalah sangat dalam perkara lain.
Sekarang Tun Mahathir tuduh PAS pemecah belah pembangkang. Satu kenyataan kelakar. Kalau dulu beliau kata PAS pemecah belah orang Melayu sewaktu beliau bermaharajalela selama 22 tahun. Hakikatnya beliaulah bapa pemecah belah masyarakat dan Melayu. Tiga Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terpelanting. Umno pecah dua kepada team A dan team B,  beliau hanya menang majoriti 43 undi dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Akhirnya mahkamah telah mengharamkan Umno pada tahun 1987.  Lahirnya Parti Semangat 46 dan PKR semuanya zaman beliau. Tiba-tiba Tun kata PAS sebagai  pemecah belah. Tun ini seperti 'berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi'.
Zaman beliau Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dipecat. Tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara, tetapi berlaku zaman beliau. Sebelumnya Institusi Kehakiman di negara ini cukup dihormati.
Tun bapa pemecah belah Melayu, buktinya royalti minyak Terengganu ditarik. Sedangkan jelas tercatat di dalam perjanjian, 5 peratus mesti diberi kepada negeri yang ditemui minyak. Sekarang perkara ini diteruskan sehingga zaman Datuk Seri Najib. Siapa yang punya angkara? Apakah Terengganu bukan negeri Melayu? Rumusannya kalau Tun Mahathir kata kepada PAS, 10 yang dia cakap 13 tidak boleh percaya. Perlu diingat, semasa beliau berkuasa selama 22 tahun PAS lawan beliau, inikan pula beliau tidak ada kuasa. Tolak BN dan PH, pilih PAS dan Gagasan Sejahtera.
USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
21 Zulhijjah 1438 / 12 September 2017 - 
HARAKAHDAILY 12/9/2017

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...