Selasa, 16 Ogos 2016

Mahathir Samakan Parti Barunya Dengan Parti Semangat 46 ???

Parti baharu Tun Mahathir Mohamed tidak sama dengan Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46), kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li yang merupakan bekas Presiden Semangat 46 berkata parti itu ditubuhkan pada tahun 1988, selepas mahkamah mengharamkan penubuhan UMNO dan beliau bersama pengikut-pengikutnya dilarang menyertai UMNO baharu yang ditubuhkan Tun Mahathir.

Pengharaman UMNO berlaku sejurus selepas kekalahan Ku Li menentang Tun Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO dengan majoriti hanya 43 undi pada pemilihan Agung UMNO pada tahun 1987.


“Jadi kita tubuh Semangat 46 dengan lebih mudah kerana UMNO berpecah dari atas sampai ke bawah. Kita boleh tubuh Cawangan daripada mereka yang tidak diterima masuk UMNO baharu dan sebagainya.

“Tapi parti baharu yang dianjurkan Dr Mahathir dan kumpulannya, saya rasa beliau nak mula dari asas dengan tak ada siapa pun yang nak tarik untuk menyertainya.

“Jadi nak tubuh Bahagian, Cawangan ini bukan mudah,” katanya kepada pemberita selepas membuka Pameran Perdagangan dan Khidmat Berkaitan untuk Artifak Asia di Kuala Lumpur hari ini.

Parti Semangat 46 pimpinan Ku Li bersama Dato’ Seri Rais Yatim (Timbalan Presiden) telah menjadi ‘ketua’ pakatan pembangkang pada PRU 1990 melalui dua pakatan yang berasingan iaitu Gagasan Rakyat (Semangat 46, DAP, PBS, dan PRM ) dan Angkatan Perpaduan Ummah (Semangat 46, PAS, BERJASA, HAMIM, dan KIMMA).

Walau bagaimanapun parti Semangat 46 telah dibubarkan pada Mei 1996, apabila Ku Li dan Rais Yatim kembali menyertai UMNO semula.

“Saya pun ada pengalaman tubuh parti baharu (juga). Bukan mudah… .tapi barangkali Dr Mahathir dengan pengaruhnya dengan kedudukannya mungkin boleh menarik lebih ramai penyokong tetapi awak tahulah di sebelah kerajaan pula akan menggunakan segala kemampuan sedia ada untuk menyekat pihak pembangkang.

“Dan pembangkang pula kalau kita lihat dari pandangan kasarnya tidak bersatu, berpecah belah dan kepimpinannya menunjuk ke arah hala tuju yang tidak boleh menarik minat rakyat menyokong.

“Jadi susahlah pembangkang nak menarik minat orang ramai. Apatah lagi jika tindakan-tindakan itu tidak menjurus kepada perpaduan rakyat secara keseluruhannya dari segi etnik, budaya dan sebagainya,” kata Ku Li lagi.

Ketika ditanya wartawan adakah parti baharu Mahathir telah menjemput beliau menyertai parti baharu itu, Ku Li menjawab ‘Tidak’.

“Saya rasa mereka tahu saya berpegang teguh kepada UMNO. Saya adalah ahli UMNO,” katanya.

Sumber: wakeupmalaya

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...