Translate

05/05/2016

SELAMATKAN MALAYSIA, KRONI ATAU KELUARGA?

1. Deretan koleksi kenderaan mewah milik Mokhzani Mahathir dikatakan benilai mencecah RM38 juta. Kedudukannya selaku Ahli Lembaga Pengarah syarikat senaraian di Bursa Malaysia berjumlah lebih dari 100 buah banyaknya. Semua orang tahu...

2. Ini belum lagi dihitung kepentingan dalam Sapura Kencana yang sudah dilepaskan pegangan saham serta kontrak berbilion carigali dari Petronas. Agaknya, berapa nilai kekayaan anak Tun M itu yang khabarnya tidak diizin berniaga ketika bapanya berjawatan PM. Itupun semua orang tahu...

3. Berbilion juta harta kekayaan milik Mirzan Mahathir usah dipertikaikan lagi. Konsortium Perdana miliknya dulu dikatakan pernah di'bail-out' berbilion ringgit oleh Petronas menggunakan wang rakyat, sehingga menimbulkan keretakan hubungan Anwar dan Mahathir semasa keduanya menjadi PM dan TPM. Ini juga ramai yang tahu...


4. 22 tahun atas nama penswastaan, hanya beberapa syarikat terpilih untuk melaksanakan projek besar berskala mega. YTL, Berjaya Group, Kumpulan Bukhary, Binariang, Ting Pek Khing, UEM. Inilah kroni-kapitalisme. Di era itu belum ada media sosial yang boleh menghebohkan agenda pakatan menfaraidkan segala harta negara. Namun ia bukan lagi rahsia di zaman ini. Ia 'open secret' yang diketahui umum!

5. 1MDB muncul. Semua syarikat geregasi 'peliharaan' Tun M itu seakan diam menyepi. Monopoli yang dikuasai selama ini seolah dipecahkan. Harta negara kini dialirkan untuk nikmat semua usahawan, bukan hanya kepada dua tiga kerat suku sakat yang kononnya dianggap pakar dalam segala.

6. Lantas bila BR1M diagihkan, Tun M mendakwa ia adalah 'dedak' dari Najib untuk rakyat. Walhalm ianya adalah jaringan keselamatan sosial, bantuan langsung yang masuk ke dalam isi rumah rakyat yang memerlukan. Tapi 'dedak' yang beliau tabur pada syarikat kroni-kroninya itu tidak pula beliau sebut dipentas.

7. Walau sedikit agihannya, namun meluas. Di anggar seramai 7 juta orang penerima paling tidak merasa, mendapat nikmat yang diberi sama rata. Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu pening kepala memikirkan soal kos anak sekolah di awal tahun.

8. Segala perancangan Tun M menemui jalan buntu. Usaha politik 'dinasti', mengkayakan kroni dan menjaga kepentingan keluarga tersekat apabila Najib punyai pendekatan serta gaya pimpinan tersendiri yang lebih holistik.

9. Tapi 1MDB pula dijadikan sasaran. Hasrat menaikkan Muhyiddin sebagai 'transit' PM terbantut bagi membuka laluan untuk Mukhriz menjadi Menteri Perdana selanjutnya.

10. Muhyiddin kerana ketidaksetiaannya menjadi 'api dalam sekam' dan bagai 'gunting dalam lipatan', kemudian disingkirkan, maka terputuslah 'talian hayat' Tun M dalam kabinet yang memalapkan impian peribadi.

11. Agenda besar untuk menobatkan Mukhriz ke arus perdana kepimpinan melalui jalan halus bermula 2013. Namun dengan takdir Allah, jawatan Naib Presiden yang ditandingi gagal dimenangi ketika itu.

12. Pada 2004, tatkala Pak Lah mengemudi PRU ke-11, segala percaturan calon di Kedah dikemudi Mahathir sendiri. Sekali lagi pada 2008, Tun M menggunakan alasan BN tewas di 5 negeri sebagai justifikasi untuk Pak Lah berundur. Meski dalam masa yang sama Pak Lah diasak agar Mukhriz dilantik ke jawatan kabinet, walhal Khairy menantunya yang lebih menang bergaya dan berada di puncak jawatan Ketua Pemuda tidak pula diberi laluan.

13. PRU 2013, Tun M menggunakan formula yang sama. Najib diasak agar Mukhriz dilantik kejawatan MB. Sungguh pun ketika itu 'Jeneral Perang' adalah Ahmad Bashah, namun atas dasar akur dan patuh pada pucuk pimpinan, beliau sekali lagi redha atas ketentuan Allah.

14. Tapi setelah 3 tahun tempoh diberi, Mukhriz lebih gemar bersantai dan bersenang lenang dengan sikap politik glamour dan kendiri 'selfie'nya. Entah kurang jelas, agenda pembangunan ekonomi, peluang untuk anak muda mahupun misi segar yang boleh meletakkan Kedah setanding dengan negeri lain bagaikan kabur dari pandangan.

15. Benarlah kata-kata hikmah, kebijaksanaan, kepimpinan dan iman tidak boleh diwarisi. Ianya perlu digilap, dilatih dan tidak mudah datang dengan sendiri.

16. Tatkala gerak kerja UMNO Kedah juga lembap, sebaliknya segala harta dan hasil mahsul anak syarikat negeri dikatakan puas diagih sesama pegawai Mukhriz yang 21 orang jumlahnya. Walhal, ramai antara mereka ini tidak pernah pun berbuat apa jasa pada Kedah, telahan lagi banyak yang datang dari luar. Tapi Mukhriz terus mendabik dada, kononnya dia 'berjaya' di Kedah.

17. Sehingga kini, tiada apa legasi yang boleh dibanggakan. Tidak setara sama sekali dengan kepimpinan Osman Aroff, apatah lagi Syed Razak malah jauh lebih rendah prestasinya berbanding jasa arwah Ustaz Azizan.

18. Lantas apabila Mukhriz digantikan, dan Ahmad Bashah mengangkat sumpah selaku MB tanggal 4 Februari Mukhriz kelihatan seperti orang "gila talak". Bara dendam di dada Mahathir pula kelihatan kian parah.

19. Maka bermulalah gerakan 'Selamatkan Malaysia' acuan nafus politik mereka. Deklarasi Mahathir-Kit Sang diuar-uarkan, kononnya tanda solidariti menentang kepimpinan 'zalim' lagi 'menindas'.

20. Walhal, 22 tahun segala akta diperalatkan demi legasi kuasa. Musuh-musuh politiknya ditalqin dan dikapan satu persatu, walau berpotensi. Anak-anak 'diktator' itu kaya-raya, mungkin 'berkat' menggunakan alamat niaga menggunakan kepala surat Seri Perdana.

21. Kini mereka melolong dan menjerit 'Selamatkan Malaysia'? Siapa yang mahu mereka 'selamatkan' sebenarnya? Keluarga mereka? Syarikat kroni? Dinasti politik? Atau Malaysia yang kian hari terus makmur, stabil dan berdaya saing.

22. Di saat orang sedang memperkukuh agenda ekonomi dan memulihkan imej negara, mereka bersekongkol dengan pembangkang dan media asing durjana memperlekehkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Itukah yang dinamakan sebagai 'Selamatkan Malaysia'?

23. Kata dulang paku serpih, mengata orang sebenarnya Mahathir dan anak-anaknya yang lebih.. Sudahlah..Dah Lama Daaaah...!!!

Sumber: Balqis Sheikh

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...