Selasa, 15 Mac 2016

Mat Said Perlu Ingat Siapa Diri Anda Sebenarnya ???

BANGI: Lupakan politik dendam kesumat, itu nasihat yang ditujukan kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said apabila cuba mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap penggantinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman baru-baru ini.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salawati Mat Basir berkata, tindakan Ahmad yang juga ADUN Kijal itu membayangkan beliau tidak dapat menerima pelucutan jawatannya dan masih berdendam walaupun sudah lapan belas bulan berlalu.

Ahmad dilucutkan jawatan sebagai menteri besar Terengganu pada 12 Mei 2014.


"Saya khuatirkan seperti yang saya katakan tadi, dendam kesumat dalam politik, yang merasakan bahawa saya (Ahmad Said) dianaktirikan, dianiayai dan sebagainya, jadi dendam kesumat ini yang bermasalah," katanya kepada Antarapos dalam satu temubual eksklusif yang didakan di pejabatnya baru-baru ini.

Salawati berkata demikian mengulas krisis politik Terengganu apabila Ahmad secara tiba-tiba mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zubir Embong bagaimanapun menolak usul itu mengikut Perkara 14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu dengan alasan Ahmad tidak mengemukakan notis.

Media sebelum ini melaporkan tindakan Ahmad itu berpunca daripada banyak sebab, antaranya tidak puas hati berhubung penamatan e-Book; isu telaga minyak Bertam 307 yang didakwa hak Terengganu; Lebuh Raya Pantai Timur yang belum dikenakan kutipan tol hingga kini dan isu perumahan di kawasan Ladang. 

Salawati kemudiannya menasihatkan supaya Ahmad selepas ini mengikut saluran yang betul sekiranya masih tidak berpuas hati dengan penggantinya itu.

"Kita kena terima walaupun mungkin kita tidak puas hati, kita boleh bawa kepada sesi perundangan daripada kita buat usul undi tidak percaya, kita mengganggu sebenarnya kerja-kerja pembangunan negeri sebab pada saya Datuk Seri Ahmad Said kena tunjuk, kena buktikan kepada dunia bahawa Menteri Besar sedia ada (Ahmad Razif) gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar Terengganu.

"Beliau (perlu) membuktikan Menteri Besar Terengganu yang sedia ada ini gagal melaksanakan tugasnya, baru dia (Ahmad) boleh melakukan perkara tersebut (usul undi tidak percaya).

"Itu pun jika dia dapat pengaruh yang besar di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), jikalau yang lain pun tidak menyokong, maka tetap juga usul itu akan menjadi satu usul yang gagal," katanya lagi.

Salawati dalam pada itu turut memuji Ahmad Razif yang dilihatnya amat merendah diri dan punya jiwa yang besar meskipun kini menduduki kerusi nombor satu di negeri itu.

"Kalau betul kita rasa dia (Ahmad Razif) tidak berjaya, kita ikut saluran yang betul. Kita (boleh) menggunakan mahkamah. Kita (boleh) bawa bukti kita (bahawa) dia gagal sebagai menteri besar, (dan) saya lebih berhak, di mana? Tunjukkan (bukti itu).

"Dan saya juga setuju bahawa menteri besar yang ada ini sangat merendah diri dan 'down to earth'," ujarnya.

Sumber: Antarapos

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...