KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM)
boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak, termasuk anggota pihak
berkuasa tempatan, yang bertindak menjalankan tanggungjawab mengawal keadaan
trafik tanpa kebenaran dan kehadiran polis trafik.
Ketua
Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata tindakan
undang-undang akan diambil sekiranya mereka (individu dan jabatan - Sumber) melakukan
penugasan marshal di jalan raya tanpa kehadiran anggota polis trafik.
Pihaknya
memandang serius terhadap tindakan individu atau badan-badan tertentu yang kini
bertindak menjadi pengiring (marshal) dalam konvoi kenderaan tanpa kebenaran
daripada PDRM, katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di
sini hari ini.
"Mereka
boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 21 (2) Akta Polis 1967,
sekiranya didapati melakukan perbuatan itu.
"Hanya
polis sahaja dibenarkan dan mempunyai kuasa untuk menahan atau melencong
kenderaan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Beliau
berkata tugas marshal banyak dilakukan oleh polis trafik dalam kebanyakan acara
seperti mengiringi ketua negara, perdana menteri, menteri dan apa jua acara
yang melibatkan polis untuk mengawal lalu lintas.
Pihaknya
telah menghantar surat kepada agensi-agensi yang berkaitan supaya memberhentikan
penugasan escort yang menyalahi undang-undang, katanya.
Sementara
itu, mengikut laporan statistik suku tahun ketiga kemalangan jalan raya bagi
tempoh sembilan bulan tahun ini, Mohd Fuad berkata, sebanyak 357,292
kes
kemalangan jalan raya yang dilaporkan, mengalami penurunan sebanyak 0.8 peratus
berbanding 360,311 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau
berkata jumlah kematian juga menurun sepanjang Januari hingga September tahun
ini sebanyak 4.1 peratus dari sejumlah 5,138 kematian akibat kemalangan jalan
raya, berbanding 5,357 pada tahun lepas.
"Secara
purata, kemalangan berlaku pada kadar 1,308 kes sehari..negara kehilangan
hampir 19 nyawa akibat kemalangan maut setiap hari di seluruh negara,"
katanya.
Penunggang
motosikal terus mencatatkan kadar kematian yang tinggi akibat kemalangan
sebanyak 3,223 orang atau 62.7 peratus sepanjang tempoh sembilan bulan tahun
ini, diikuti kereta 963 orang dan pejalan kaki 393 orang.
Beliau
berkata tiga negeri yang tertinggi yang menyumbang 55.9 peratus kepada
keseluruhan jumlah kemalangan berlaku ialah Selangor, Johor dan Kuala Lumpur
manakala Perlis pula mencatat kadar kemalangan paling rendah.