Ahad, 9 September 2012

PRU-13 penentu survival UMNO, BN

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang adalah penentu kepada kesinambungan hidup UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam arena politik negara.

Sehubungan itu, menurut beliau, mahu tidak mahu ahli UMNO dan BN perlu bersatu tenaga bagi membuktikan kepada rakyat hanya parti tersebut mampu menggalas tanggungjawab memimpin dan mentadbir negara dengan baik.

Malah katanya, ahli dan pemimpin parti juga harus belajar daripada pengalaman dan tidak mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum lalu yang menyebabkan beberapa negeri jatuh ke tangan pembangkang.

"Saya amat mengharapkan semangat untuk kita berjuang kali ini adalah habis-habisan. Marilah kita jadikan ia sebagai satu ikatan dan azimat kepada kita semua.

"Saya tidak mahu lagi mendengar politik adu domba antara kita, tidak mahu lagi mendengar politik sesama puak. Kita tidak mahu lagi dalam kamus kita, ada yang merajuk apatah lagi yang sanggup mengkhianati parti," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian Kedah Selatan di Kompleks Rakan Muda, Batu 42 di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurut Najib, semua UMNO bahagian kini perlu memastikan pemimpin dan ahli-ahlinya kembali kepada perjuangan asal dengan meletakkan parti sebagai keutamaan.

"Kita sudah cakap berulang kali, sampai berbuih dan sudah habis reng (tenaga). Sekarang, sudah sampai masanya untuk kita kukuhkan ikrar. Marilah kita berjanji kepada parti bahawa akan memastikan kemenangan tercapai," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin parti bertindak lebih matang dengan meletakkan agenda parti sebagai keutamaan berbanding kepentingan individu.

"Janganlah kita hanya bercakap di sana dan sini bahawa sudah bersatu tetapi bersyarat. Sepatutnya kalau sayang parti, tidak ada syaratnya. Siapa yang dipilih pucuk pimpinan, kita sokong," katanya.

Dalam pada itu, Najib secara berseloroh juga berkata, beliau dapat mengenali karakter seseorang pemimpin dengan menilai cara mereka bersalam dengannya.

"Bila saya salam dengan pemimpin itu, saya boleh baca. Apatah lagi saya bersalam dan genggam tangannya.

"Siapa yang mahu jadi calon, bila saya sebut calon boleh menang, semua rasa dia calonnya. Namun, hakikatnya semua kena terima, sesetengah daripada kita memang boleh menang, sesetengah tidak. Tetapi kalau kita sayang kepada parti, redalah, kalau dipilih, syukur, kalau tidak sila teruskan demi perjuangan parti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengajak ahli UMNO berfikir dan bertindak secara matang serta dewasa.

Katanya, pemikiran sedemikian bersesuaian dengan taraf usia negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun serta sinonim dengan usia UMNO sendiri yang kini mencecah 66 tahun.

"Bila kita menyebut angka 55 dan 66 tahun, bererti Malaysia ini merupakan sebuah negara yang sudah matang. Begitu juga dengan UMNO, pada takrif dan definisi tersebut bererti sepatutnya parti kita lebih matang dan dewasa kerana sudah 66 tahun," katanya.

Najib menambah, ciri-ciri kematangan itu juga boleh digunakan dalam membuat keputusan penting dalam hidup seperti memilih kerajaan atau pemimpin.

"Bila mencapai usia matang, sepatutnya membawa erti kita sudah mempunyai pengalaman hidup yang luas. Kita juga perlu mempunyai ilmu yang mendalam, cara berfikir yang masak dan bijak membuat pertimbangan," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...