Translate

04/09/2012

Penipuan catatan hasil tangkapan dikesan

Hasil tangkapan ikan wajib direkod mulai bulan depan

KUANTAN: Mulai bulan depan, semua pengusaha ikan laut dalam dan nelayan diwajib mencatat pendaratan hasil tangkapan dan aktiviti pergerakan vesel mereka di dalam buku log. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom berkata, tugas mencatat hasil tangkapan akan dilakukan oleh pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi mengelak penipuan catatan hasil tangkapan.

Beliu berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu dilakukan bagi memastikan jumlah pendaratan menepati kuota pendaratan yang ditetapkan bagi kategori peralatan penangkapan ikan yang dilesenkan. 

"Pelaksanaan prosedur ini merupakan kaedah pencegahan ketirisan pendaratan ikan dan mengelakkan tangkapan ikan yang tidak diisytihar dan juga merupakan maklumat asas yang digunakan bagi menentukan pemberian diesel bersubsidi yang diperlukan untuk sesebuah vesel penangkapan ikan," katanya. 

Mohd Johari berkata demikian pada sidang media mengenai pelaksanaan SOP pengambilan data pendaratan vesel penangkapan ikan laut dalam di Kompleks LKIM Kuantan hari ini. 

Beliau berkata, setiap pengusaha atau nelayan laut dalam akan diberi sebuah buku log setiap seorang dan setiap kali operasi vesel dilakukan, ia akan dicatat dalam buku berkenaan termasuk jumlah hasil laut yang didaratkan bermula 1 Oktober depan. 

"Selepas ini diesel yang akan diberikan kepada setiap vesel bergantung kepada hasil tangkapan. Kalau tidak banyak ikan yang didaratkan, maka sikitlah diesel yang akan kita berikan, di mana kita tetapkan satu tan ikan bersamaan satu liter diesel," katanya. 

Beliau berkata, terdapat banyak penyelewengan dalam operasi laut dalam di seluruh negara yang boleh dilihat pada data pendaratan ikan vesel kelas C2 (laut dalam) tahun ini, di mana bilangan vesel adalah 1,536 buah sedangkan hasil pendaratan cuma 112,444.59 tan metrik. 

"Dengan jumlah vesel sebanyak itu di seluruh negara, hasil pendaratan sepatutnya 384,000 tan metrik di mana sebuah vesel sepatutnya mendaratkan 250 tan metrik ikan setahun," katanya. 

Mohd Johari berkata paling ketara penyelewengan berlaku di Kelantan yang memiliki 372 vesel tetapi hanya mendarat 9,405.7 tan metrik ikan dan ia adalah sesuatu yang tidak munasabah. 

"Saya akan ke Kelantan dalam masa terdekat untuk berjumpa dengan pengusaha laut dalam dan juga akan meminta pengusaha yang bukan tulen supaya menghentikan segala pengelewengan dan kita tidak akan bertolak ansur dalam hal ini," katanya. - BERNAMA 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...