Translate

24/07/2012

Nasharuddin Tantawi memang pembohong - Karpal Singh



KUALA LUMPUR 23 Julai – Gabungan NGO Malaysia melalui Setiausahanya, Ramli Mat Jurit melahirkan rasa  kesal dan hairan dengan sikap Pemuda Pas yang hanya berdiam diri apabila Ketua Pemuda mereka, Nasharuddin Tantawi ditempelak serta dinafikan kebenaran kata-katanya oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh berkenaan hudud ketika debat beliau menghadapi Sekretariat ILMU, Ustaz Fathul Bari baru-baru ini.
Ketua Pemuda Pas, Nasharuddin Tantawi baru-baru ini mengeluarkan  kenyataan bahawa Karpal setelah bergabung dengan Pas dalam Pakatan Pembangkang sudah mula bersikap lembut terhadap pendirian Pas untuk melaksanakan hukum hudud,  ketika debat beliau bersama Pengerusi  Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU) Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya baru-baru ini.
Bagaimanapun, selang beberapa hari selepas itu, Karpal secara terbuka membidas Ketua Pemuda Pas  kerana memandai-mandai mengatakan bahawa pendiriannya terhadap perlaksanaan hukum hudud dan Islam sudah berubah dan Karpal tetap menegaskan bahawa pendirian beliau terhadap hudud tidak berubah sejak 20 tahun lalu.
Sehubungan itu, menurut Ramli, tidak hairanlah mengapa Karpal begitu berani dan dengan selamba mahu mengkritik secara terbuka mana-mana pemimpin Pas baik dari peringkat tertinggi sekalipun, kerana Karpal tahu Pas tidak akan berani untuk menyanggah kenyataannya itu.
“Saya tidak pasti  samada ada Pas sedar atau tidak, bahawa Karpal sebenarnya sudah menghidu kelemahan Pas  iaitu matlamat perjuangan  Pas yang  kini lebih kepada kuasa politik, dan bukan lagi perjuangan ikhlas yang mahu menegakkan Islam semata-mata.
“Bagi Pas hari ini, hudud dan negara Islam kini hanya tinggal retorik yang perlu diulang-ulang untuk menyakinkan rakyat bahawa Pas tetap memperjuangkan Islam, sedangkan hakikatnya perjuangan negara Islam sudah lama Pas tinggalkan,” tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.
Sebab itu jelas beliau lagi, ramai ahli dan pemimpin Pas di peringkat tertinggi meninggalkan Pas kerana sudah merasa kecewa dengan perjuangan Pas hari ini. Ada di antara ahli-ahli dan pemimpin Pas yang ditemuinya, mengambil keputusan untuk keluar dari Pas dan ada juga yang masih ahli Pas, namun mereka sendiri tidak yakin dengan kesungguhan kepimpinan Pas hari ini untuk menegakkan negara Islam.
“Pas hari ini di dalam Pakatan Pembangkang dilihat sebagai jemaah yang tidak berani bersuara dan lebih kepada sanggup buat apa saja kerana kuasa. Pas dibuli sesuka hati oleh DAP. Semua ini berlaku apabila Pas membuat keputusan untuk bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Pembangkang menyebabkan Pas menjadi parti  bacul dan penakut untuk bersuara.
“Mereka sanggup korbankan prinsip perjuangan negara Islam yang sejak sekian lama menjadi matlamat mereka sebelum ini, untuk menjaga hati dan mendengar nasihat dua rakan politik berfahaman liberal mereka itu.
“Jadi, bagaimana kita mahu memberikan amanah kepada Pas dan juga Pakatan Pembangkang untuk menjaga dan memelihara maruah Islam, Bangsa Melayu dan Tanahair ini, apabila mahu bersuara dan mempertahankan parti sendiri daripada dihina dan dicerca pun tidak mampu mereka lakukan,”ujar beliau. -MediaUMNO

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...