PENDERHAKA PATUT DIAMBIL TINDAKAN TEGAS
ARAU, 25 Mei ― KELUARGA
BESAR JAMALULLAIL PERLIS hari ini mendesak Pengerusi Badan
Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menyembah maaf ke atas
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail kerana dianggap menderhaka
terhadap titah baginda.
Wakil
keluarga itu, Syed Zolkifli Syed Abdul Rahman Jamalullail berkata ini ekoran
tindakan Shahidan dan sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan
Nasional (BN) yang memboikot Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar
di Istana Arau semalam.
“Mereka
perlu memohon maaf kerana baginda pasti berasa tersinggung, tidak sedap hati
serta menimbulkan ketidaksenangan hati di kalangan semua rakyat Perlis,”
katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini, hari
ini.
Syed Zolkifli
berkata laporan itu juga dibuat ekoran kenyataan Shahidan pada sidang akhbar di
Kuala Lumpur semalam yang menyebut bahawa Tuanku tidak perlu campur tangan
dalam pentadbiran, yang sepatutnya tidak diucapkan kepada Tuanku.
Katanya tindakan Shahidan dan semua
Adun berkenaan juga melibatkan maruah Tuanku dan seluruh keluarga baginda,
justeru mereka harus memohon maaf secara terbuka kepada Raja Perlis dan
menghormati institusi Diraja.
Dalam pada
itu, ADUN Kuala Perlis daripada PKR, Nor Azam Karap turut membuat laporan polis
hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Shahidan yang didakwa
mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Raja Perlis.