Jabatan Perikanan bercadang mewajibkan nelayan menggunakan alat Peranti Penyisih Penyu (TED) pada pukat tunda udang bagi mengelak kepupusan penyu.
Pengarah Bahagian Pelesenan dan Pengurusan Sumber jabatan itu, Gulamsarwar Jan Mohammad berkata, langkah itu penting kerana penggunaan pukat jenis tersebut dikenal pasti sebagai punca utama penyu terperangkap dan mati.
Menurutnya, masalah serupa turut berlaku secara meluas di negara-negara lain sehingga menyebabkan reptilia tersebut kian pupus. Beliau memberitahu, peraturan seumpama itu telah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) supaya negara-negara pengeksport hasil tangkapan laut menggunakan TED pada pukat tunda mereka.