TANGGAL 31 Ogos datang lagi - tanda meningkat setahun lagi usia kemerdekaan negara. Ketika laungan kemerdekaan di Stadium Merdeka yang dikumandangkan Tunku Abdul Rahman mengiang-ngiang di telinga, kini Malaysia menyambut lagi ulang tahun ke-48.
Sebagaimana Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara menjadi saksi turunnya bendera Union Jack, begitulah juga bangunan dengan reka bentuk Moorish itu menjadi saksi peningkatan dalam pembangunan serta perkembangan sebuah negara bernama Malaysia.
Dengan bebasnya negara daripada belenggu penjajahan bermakna perjuangan mendapatkan kemerdekaan juga berakhir, tetapi ia juga bermakna bermulanya perjuangan mengisi kemerdekaan.Semangat merdeka juga terus disemai bagi memberi kesedaran kepada anggota masyarakat akan betapa payahnya perjuangan menjadi negara yang bebas dari sebarang unsur-unsur penjajahan.