KUALA LUMPUR, 10 Mac — Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini digesa supaya masuk campur untuk menangani isu caj insurans yang “tidak masuk akal” dan manipulasi pembelian insuran pihak ketiga oleh syarikat-syarikat insurans.
Isu berkenaan dibangkitkan sekali lagi di Dewan Rakyat, dan kali ini BNM digesa mencari penyelesaian segera memandangkan ia telah berlarutan sejak dua tahun lepas.
Sepakat mempertikaikan ketelusan syarikat-syarikat insurans dalam isu berkenaan, beberapa anggota Parlimen dari barisan penyokong kerajaan dan pembangkang mahu tindakan tegas diambil terhadap syarikat-syarikat terbabit demi kepentingan rakyat.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mendakwa kebanyakan syarikat insurans mengenakan kadar yang tidak masuk akal dan tinggi untuk pembelian insurans pihak ketiga yang biasanya dibeli oleh pemilik kenderaan yang berusia 10 tahun ke atas.