BANGI, 15 Muharram 1440H, Selasa – Pendakwah bebas, Prof
Dr Ridhuan Tee Abdullah menyarankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal
ehwal agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa supaya meneliti dengan baik ceramah Dr
Zakir Naik yang didakwanya mencaci agama lain.
Ridhuan Tee berkata, sepanjang
penelitiannya, ucapan dan sudut pandang pakar perbandingan agama itu tidak
bercanggah daripada pandangan akademik.
“Hanya mereka yang makan cili
sahaja yang terasa pedaskan. Dr Zakir Naik tidak pernah
mengeluarkan kenyataan memperlekeh atau memandang rendah kepada agama lain.
“Hujah yang Zakir Naik
keluarkan sentiasa bersandar kepada fakta. Justeru, saya mohon menteri Jabatan
Perdana Menteri, meneliti ceramah dan ucapan Zakir Naik, pernahkah beliau
mencaci agama lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga bertanya sama ada
pernahkah pihak yang mendakwa Dr Zakir Naik mencaci agama lain, mendengar
khutbah gereja setiap Ahad yang kadang kala, paderi mereka turut meremeh dan
merendahkan status agama Islam.
“Ya, tidak dinafikan kita tidak
perlu terikut-ikut dengan rentak mereka. Tetapi adalah lebih baik jika Mujahid
mengeluarkan pendapat seiring dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
yang sebelum ini menegaskan Malaysia tidak akan dengan mudah bersetuju terhadap
sebarang desakan menghantar pulang Dr Zakir Naik sebelum membuat penilaian
secara teliti.
“Jika dibandingkan dengan
sarjana perbandingan agama di dunia, masih belum ada tokoh setanding Dr Zakir
Naik. Kita tidak mahu, hanya kerana terlalu mahu menjaga hati orang, hati umat
sendiri terluka.
“Dibimbangi nama kita yang baik
seperti Mujahid terpalit menjadi ‘mujahat’ hanya kerana gara-gara pandangan
terhadap Dr Zakir Naik yang tidak bersandar kepada kajian yang rapi dan
teliti,” katanya.
Beliau menegaskan, jangan
kerana ultra kiasu memusuhi Dr Zakir Naik, maka menteri turut terikut-ikut
rentak musuh.
“Apakah kita sebagai menteri
mampu lakukan sebagaimana Almarhum Tunku Abdul Rahman, pengasas Perkim yang
berjaya mengIslamkan beberapa menteri.
“JIKA KITA TIDAK MAMPU,
JANGAN LAH TEGAR MENGATAKAN DAKWAH DR ZAKIR NAIK TIDAK SESUAI. Sedarkah
kita berapa ramai yang telah diislamkan oleh Dr Zakir Naik. Jika beliau ekstrem
mana mungkin mereka yang ‘non-muslim’ masuk Islam,” katanya.