Translate

24/03/2016

MAHATHIR KENA TERIMA HAKIKAT SEBENAR SEMASA PEMERINTAHAN BELIAU

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini memuatkan catatan terbaharu dalam Facebook baginda yang menyentuh mengenai krisis Perlembagaan pada tahun 1992. Walaupun tidak menyebut nama siapa yang dimaksudkan namun ia dipercayai merujuk kepada pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Berikut adalah kenyataan penuh baginda:

Saya tidak akan lupa krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992. Saya masih ingat bagaimana keluarga saya telah dilayan oleh pegawai-pegawai kerajaan Persekutuan. Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, ahli Exco Johor diberitahu untuk tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR telah diberitahu untuk tidak membaik pulih dan memulihara segala apa-apa yang ada di istana-istana Johor.


Malah, bonda saya juga ditahan oleh Kastam Malaysia sewaktu kembali ke Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah ke­luar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih i­ngat segala-galanya dan saya masih i­ngat kepada individu-individu yang bertanggungjawab.

Ini semua perkara lama. Allah Maha Besar dan hukum karma adalah suatu perkara yang indah. Pada hari ini, hubungan kerajaan dan kerabat diraja Johor berada di dalam keadaan baik. Saya menghargainya. Saya berharap ia bukan hanya sekadar disebabkan kerana anda amat memerlukan kami. Memang baik sekiranya anda sedar bahawa kita saling memerlukan antara satu sama lain.

Tetapi pada pendapat saya pada masa ini, tumpuan harus diberikan untuk memperbetulkan kesilapan dan mencapai kemajuan dalam negara. Saya berharap agar sejarah hitam yang anda lakukan atas desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa tidak akan berlaku lagi. Jangan manipulasi rakyat demi kepentingan diri sendiri kerana anda dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya berdoa agar kita boleh memberikan tumpuan untuk menjadikan negara kita ini tempat yang lebih baik pada masa akan datang, demi rakyat.

Kepada sekalian bangsa Johor. Sultan anda dan kerabat diraja Johor menyayangi anda. Saya sayangkan anda. Saya dilahirkan untuk berkhidmat kepada anda hingga penghujung nafas saya dan itu adalah tanggungjawab saya. Keutamaan saya adalah hak anda sebagai rakyat Johor, dan ke­sejahteraan anda. Sentiasa ingat perkara ini.

Kekuatan kedaulatan Johor ialah perpaduan. Sentiasa kekal bersatu sebagai rakyat Johor. Ja­ngan beri peluang kepada sesiapa pun untuk membuli kita. Kita yang memutuskan apa yang baik untuk kita. Ini adalah rumah kita, negeri kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi hak Johor dan kedaulatannya. Allah peliharakan sultan dan negeri Johor Darul Ta’zim dan semoga Allah memberkati negara Malaysia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...