KUANTAN 31 Dis. - Kementerian Sumber Asli Dan Alam
Sekitar memandang serius kejadian warna air laut bertukar merah di Pantai Batu
Hitam di sini yang dikatakan berpunca dari stok penyimpanan bauksit berhampiran
Pelabuhan Kuantan, tidak jauh dari kawasan perkampungan Sungai Pengorak.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi
Tuanku Jaafar berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan kejadian laut merah
di pantai itu pada Selasa lalu dan menjalankan persampelan kualiti air sebelum
dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
“Semalam, JAS sekali lagi menjalankan
persampelan air dan menjalankan siasatan bersama Jabatan Pengaliran dan Saliran
(JPS) negeri di kawasan terlibat.
“'Keputusan analisis kimia dijangka
diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga minggu memandangkan analisis bagi sesetengah
parameter pencemar perlu dijalankan di makmal Jabatan Kimia di Petaling Jaya,
Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata,
JAS masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian laut
merah tersebut.
Dalam masa sama, kata beliau,
pemantauan kualiti air di kawasan dikenal pasti terkesan dengan aktiviti
perlombongan bauksit yang dijalankan sebelum ini masih diteruskan.
“Sebagai langkah awal, JAS Pahang
bersama JPS diarahkan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian
tersebut. JAS dan JPS telah ke jeti nelayan Kampong Balok Pantai di sini untuk
mengambil sampel air di muara sungai.
“Berdasarkan pemerhatian, kawasan
terjejas dianggarkan 100 meter ke tengah laut dengan unjuran pesisiran pantai
kira-kira 10 kilometer. Empat botol sampel air di kawasan ini diambil untuk
dihantar ke Jabatan Kimia,” ujarnya.
Tambah beliau, Jabatan Mineral dan
Geosains (JMG) negeri akan menjalankan audit terhadap pematuhan syarat-syarat
lombong manakala JPS diarahkan memantau ketinggian paras air sungai.
“Satu sesi pemeriksaan di kawasan lombong akan
turut disertai oleh JAS Pahang bersama dengan JMG dan JPS. Pemantauan
berterusan akan dilaksanakan oleh JAS negeri untuk memastikan kualiti air pulih
seperti sedia kala,” katanya.