Kalah PRU jika tukar MB
JERLUN –
Umno Bahagian Jerlun mendakwa pertukaran jawatan menteri besar tanpa alasan
yang munasabah boleh menyebabkan parti itu tewas pada PRU 14.
Timbalan Ketuanya, Datuk Abu Hasan Sarif berkata,
sejarah negeri Kedah membuktikan parti itu akan tewas dalam pilihan raya jika
berlaku pertukaran menteri besar di pertengahan jalan sejak 1995.
“Hujan tak ada, angin tak ada, ribut pun tak ada,
tiba-tiba kita diledakkan dengan satu bom yang membangkitkan kesedaran dan
semangat semua masyarakat bukan sahaja di Jerlun, tapi di seluruh Kedah untuk
bangun memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri
Besar Kedah.
“Lima penggal saya diberi kepercayaan kepimpinan
untuk dipilih dan menjadi wakil rakyat Kota Siputeh.
"Lebih 20 tahun, dah banyak menteri besar dan
ini merupakan kali kedua saya menghadapi ujian sama dalam soal menolak
kepimpinan Menteri Besar Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan aluan sempena
Himpunan Menyokong Kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kekal sebagai Menteri
Besar Kedah dan Pengerusi Umno Negeri Kedah di Wisma Umno Bahagian Jerlun,
kelmarin.
Menurutnya, masalah pertukaran menteri besar
berlaku sejak 1995 ketika Tan Sri Osman Aroff menjadi Menteri Besar Kedah.
“Apabila ada pertukaran yang dibuat, perhimpunan
seperti ini telah pun dilakukan untuk mempertahankan jawatan menteri besar itu.
“Akhirnya kerana rakyat masih menyayangi kepimpinan
Osman ketika itu, walaupun berpindah tangan dan akhirnya kita dapati pada 1999
itulah bermulanya kejatuhan Kedah pada pilihan raya,” katanya.
Ujarnya, kejadian itu menyebabkan BN tewas 14
kerusi ketika Tan Sri Sanusi Junid menjadi menteri besar.
Adun Kota Siputeh itu turut menegaskan pertukaran
menteri besar dibuat dengan mendapat kebenaran, persetujuan serta keredaan
daripada tuan tubuh yang sedang memegang jawatan tersebut.
Sumber: KLIK DISINI