Translate

15/12/2015

TUN MAHATHIR PUNCA UMNO / PAS BERSENGKETA

KOTA BHARU, 15 Disember: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara waktu paling ‘tegang’ berhubung soal hubungan antara Pas dan Umno.

Tambahnya, sewaktu era Tun Abdullah Ahmad Badawi hubungan itu dilihat agak mesra dan merasakan sekarang Datuk Seri Najib Razak cuba mengembalikan semula kemesraan itu.

“Dalam setahun dua ini ada perubahan dan kita nampak ada sikit kelonggaran di pihak Kerajaan Pusat dan kerjasama itu kita sambut baik.


“Sebagai contoh, dulu bila ada menteri datang ke Kelantan mereka tidak datang berjumpa dengan Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat di mana mereka sepatutnya berjumpa. Seingat saya, kalau ada yang datang berjumpa pun hanya Datuk Seri Nazri Aziz sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Alumni Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan di Balai Islam Lundang di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kini sudah ada perubahan apabila ada menteri Pusat yang datang ke sini datang berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Katanya, perubahan terbabit sebenarnya sudah bermula sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lagi dan berharap dasar itu akan diteruskan.

Ketika ditanya sama ada Pas ada hubungan ‘sulit’ dengan Umno, Mohd Amar yang juga Naib Presiden parti itu pantas menafikan dakwaan terbabit.

“Hubungan sulit memang tiada. Perjumpaan biasa adalah…pemimpin biasalah, dia berunding dan berbincang. Macam Nik Aziz dahulu pernah dia mengatakan dua kali bertemu Dr Mahathir secara individu tetapi tidak pernah memberitahu apa yang dibincangkan.

“Sebenarnya zaman Tun Abdullah sudah ada sedikit kelonggaran…Najib hanya teruskan hubungan baik.

“Dua pemimpin ini kalau dibincangkan mengenai ‘sikap’ yang ditunjukkan adalah lebih baik berbanding Tun Dr Mahathir,” jelasnya.

Ditanya kemungkinan kesederhanaan watak yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri sekarang mungkin pencetus ke arah penyatuan, Mohd Amar hanya berkata sesiapapun tidak boleh meramalkan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.

“Kita tidak boleh menjangka masa hadapan. Mungkin pada masa itu kita menjadi kerajaan dan Umno pula sebagai pembangkang,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...