Pulau Pinang Dikenal Pasti Hab Pembuatan Dadah
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang dikenal pasti
antara negeri yang menjadi hab pembuatan dadah sindiket pengedaran antarabangsa
bagi pasaran di rantau ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata
trend berkenaan berdasarkan peningkatan nilai hasil rampasan, jumlah penahanan
serta serbuan yang dilakukan pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia
(PDRM) di negeri itu sejak kebelakangan ini.
"Pulau Pinang memiliki pusat pengangkutan yang baik, kini
menjadi hab pengeluaran, mudah membawanya keluar dari Pulau Pinang ke Thailand
dan Indonesia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan
pertemuan dengan delegasi Suruhanjaya Global Mengenai Polisi Dadah and Majlis
Aids Malaysia di Parlimen di sini, hari ini.
Pada masa sama, Nur Jazlan berkata kedudukan strategik serta
laluan perairan Pulau Mutiara itu juga menjadi faktor utama kemasukan sindiket
pengedaran dadah yang menjadikannya sebagai transit untuk membawa masuk bahan
terlarang berkenaan.
Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata kementerian sedang merumuskan
draf akhir Dasar Dadah Negara yang meliputi aspek perundangan, pemulihan,
pencegahan dan pendidikan yang lebih berkesan bagi membendung ancaman gejala
dadah yang semakin meruncing di negara ini.
Nur Jazlan berkata dasar baharu itu dirangka bagi menjadikan
Malaysia bebas daripada ancaman dadah, sekali gus dapat menghapuskan bekalan
dan permintaan dadah.
"Dasar baharu itu diharap dapat dilaksanakan dengan mengambil
kira kepentingan agama, budaya dan kepelbagaian kaum di negara yang akan
melaksanakan hukuman pengajaran dan pendidikan yang lebih bersesuaian
berbanding rawatan pemulihan biasa," katanya.
Perjumpaan kira-kira 45 minit itu diketuai bekas Presiden
Switzerland Ruth Dreifuss yang membincangkan mengenai persetujuan Malaysia
menyertai sidang khas Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai dadah pada tahun
depan.-- BERNAMA