Translate

17/01/2015

PAS Terengganu : Keluar Parti Jika Mahu Teruskan Agenda PasMa


KUALA LUMPUR: PAS Terengganu menggesa ADUN Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi meletakkan jawatan dan keluar parti sekiranya mahu meneruskan agenda Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) yang ditolak oleh parti Islam itu.
Pesuruhjaya PAS Terengganu Saiful Bahri Mamat menegaskan tiada halangan untuk PasMa yang diterajui Phahrolrazi menjadi sebuah parti politik dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
Namun beliau mengingatkan Pahrolrazi agar keluar daripada PAS dan jangan sesekali ‘bertenggek’ di atas perjuangan parti berteraskan Islam itu.
“PAS Pusat ada keputusan dah mengenai PasMa, kita ikut yang itu sahaja. Kita berpegang apa yang diputuskan oleh PAS Pusat itu.

“Jadi apa nak dilakukan kalau PasMa nak jadi parti politik. Daripada awal saya dulu saya sebut Malaysia ini negara demokrasi sesiapa sahaja boleh daftar parti.
“Cuma kita sebut kalau dia rasa PAS tidak lagi sesuai sebagai bahtera perjuangan baik dia keluar daripada parti. Jangan dia bertenggek berpegang dengan parti PAS ini,” katanya kepada Antarapos.
Saiful Bahri diminta mengulas mengenai tindakan Phahrolrazi bersama ahli PasMa yang mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng baru-baru ini bagi membincangkan kerjasama di masa depan.
Difahamkan pertemuan itu antara lain membincangkan mengenai isu dan strategi kerjasama dengan Lim untuk pilihan raya umum akan datang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...