Umno perlu kenal pasti siapa ‘WARLORD’
Umno perlu mengenal pasti siapakah 'warlord' dalam parti yang
menyebabkan anggota dan masyarakat menjauhkan diri sehingga melemahkan parti,
kata Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau
berkata parti tonggak Barisan Nasional (BN) ini mesti melihat dengan serius dan
memperbetul persepsi umum 'Umno dikuasai oleh warlord' bagi
membolehkannya meraih kembali keyakinan rakyat untuk menyokong parti.
'Warlordism'
yang dimaksudkan ini adalah dia menyebabkan orang lari daripada Umno. Ini yang
perlu kita tentukan, siapa dia orang itu," katanya semasa melawat Laman
Media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Timbalan
Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan secara serentak
Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam tadi
berkongsi pandangan orang muda yang melihat Umno antara lain dikuasai
'warlord'.
"Kita
perlu buktikan warlord bukan sebahagian daripada budaya Umno. Kita menolak
sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada
pengikut," kata Muhyiddin.
Mengenai
peremajaan Umno yang dilihat menjadi fokus perhimpunan agung kali ini, Shabery
berkata perkara itu perlu diperhalusi agar hasrat berkenaan dapat diterjemah dengan
tepat.
"Ramai
orang melihat soal peremajaan dan bagaimana Umno nak diremajakan. Apakah perlu
pertukaran pucuk pimpinan dan di peringkat mana?," katanya.
Shabery,
yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang turut meninjau infrastruktur
dan tahap kelajuan jalur lebar di Laman Media, berkata kemudahan berkenaan akan
dipertingkatkan bagi memudahkan liputan secara masa nyata dapat dilakukan oleh
pengamal media pada masa depan.
Sebanyak 1,452 petugas media daripada 106
akhbar dan agensi berita dalam dan luar negara membuat liputan pelbagai program
sempena Perhimpunan Agung Umno 2014. – Bernama, 26 November, 2014.