Kerajaan negeri Selangor tidak pernah memberikan permit atau
kelulusan terhadap mana-mana pihak dalam penganjuran festival minuman keras
'Octoberfest 2014' yang dijangka berlangsung selama 3 hari bermula Jumaat ini.
Pengerusi
Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Ean Yong Hian Wah dalam kenyataannya hari
ini berkata pengeluaran permit bagi acara sedemikian adalah bawah bidang kuasa
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Penganjur
boleh memohon kepada PBT yang berkaitan dan kelulusannya adalah tertakluk
kepada beberapa syarat yang ditetapkan antaranya memasang papan tanda
'Melayu/Islam dilarang masuk", memastikan tiada pengunjung di bawah umur,
mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia, dan acara hendaklah dilakukan
di lokasi tertutup," katanya.
'Oktoberfest'
atau festival arak yang dianjurkan sebuah syarikat pengeluar minuman keras itu
bermula sejak 24 September, di beberapa lokasi termasuk di sebuah hotel di
Subang dan Kuala Lumpur.
Kemuncak
pesta tersebut pula akan diadakan pada Jumaat hingga Ahad ini di sebuah pusat
beli-belah di Petaling Jaya.
Sementara
itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dalam kenyataannya
hari ini berkata pemasangan papan iklan promosi 'Octoberfest' dilakukan tanpa
kelulusan dan kebenaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Bagaimanapun,
katanya, iklan berkenaan dipasang di papan iklan milik sebuah syarikat
pengiklanan dan bukan milik MBSA.
Katanya,
MBSA menurunkan papan iklan berkenaan dan syarikat pengiklanan berkenaan
dikenakan tindakan sewajarnya. – Bernama, 8 Oktober, 2014.