13 Ogos – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini
sedang memburu artis-artis yang gagal membayar cukai pendapatan termasuklah
beberapa artis gred A yang turut menjadi buruan LHDN.
Menurut laporan dari Harian Metro, semakan
yang dilakukan LHDN mendapati hanya 20 penggiat seni tempatan menghantar Borang
Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) individu melalui kaedah e-filling manakala
bakinya dipercayai tidak membayar cukai.
"Setakat ini hanya segelintir artis tempatan didapati
konsisten dan menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai pendapatan bagi tahun
taksiran 2013 yang tamat tempoh pada 15 Mei lalu.
"Antara artis 'jujur' itu ialah Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn
Victor, Nabil, Yuna, Erra Fazira, Johan Raja Lawak dan Salih Yaacob. Senarai
artis gagal membayar cukai juga ada, namun kami tidak boleh mendedahkan,"
ujar sumber dari LHDN.
Pada masa sama, sumber tersebut berkata, LHDN nyata kecewa kerana
ramai artis yang tidak membayar cukai dan ia turut membabitkan kelompok artis
yang kami yakin memperoleh pendapatan tinggi kerana pernah memenangi pelbagai
anugerah dengan hadiah wang tunai ratusan ribu ringgit.
Dalam pada itu, aktres jelita Erra Fazira berkata, dia kini
sentiasa membayar cukai pendapatan kepada LHDN kerana serik pernah didenda
kerana lewat jelas cukai.
"Saya serik berikutan pernah didenda kerana lewat membuat
taksiran cukai. Peristiwa itu sentiasa jadi iktibar kepada saya."
Sementara itu, bagi penyanyi popular Jaclyn Victor pula berkata,
dia tidak mempunyai masalah membayar cukai pendapatan kerana memahami
tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
"Setiap tahun saya membayar dan menghantar borang cukai. Bagi
saya, soal membayar cukai pendapatan bukan satu masalah. Ia tanggungjawab
rakyat Malaysia yang layak."