Translate

16/07/2014

SIASATAN TERPERINCI PERLU DIJALANKAN UNTUK MENGETAHUI PUNCA KEMALANGAN ???



Dua Maut, 19 Pati Warga Indonesia Dikhuatiri Lemas, Bot Pancung Karam Di Tanjung Piai

JOHOR BAHARU, 15 Julai (Bernama) -- Dua pendatang asing tanpa izin warga Indonesia maut manakala 19 dikhuatiri lemas selepas bot pancung yang dinaiki kira-kira 80 orang dilaporkan karam di perairan Tanjung Piai, dekat Pontian awal pagi Selasa.

Penolong Pengarah (Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat) negeri Mohd Rizal Buang berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 1.33 pagi itu, berlaku kira-kira tiga batu nautika dari Tanjung Piai.

Beliau berkata kejadian berlaku akibat pelanggaran bot pancung itu dengan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semasa Ops Tumpas.

"Pihak bomba berjaya menyelamatkan 61 mangsa tetapi dua daripadanya (seorang lelaki dan wanita) meninggal dunia manakala 10 mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan dan 49 mangsa terselamat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Selasa.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan mulai 8 pagi ini melibatkan 20 anggota Bomba dan Penyelamat Negeri.

Sementara itu, operasi menyelamat dan mencari (SAR) telah dibahagikan kepada empat sektor meliputi kawasan seluas enam batu nautika antara Tanjung Pelepas dan Tanjung Piai.

Operasi SAR yang diketuai APMM itu, turut disertai bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Laut.

"Bomba ditugaskan untuk mencari di Sektor D, sekitar dua batu nautika dari Tanjung Pelepas. Keadaan laut kini masih air pasang, kita jangkakan akan surut sekitar 4.30 petang. Pasang surut air laut sedikit sebanyak mempengaruhi operasi SAR," kata Mohd Rizal.

Pihak bomba menggunakan dua bot laju jenis kevlar dan tiga bot aluminium dalam operasi yang dijangka diteruskan sehingga 7 malam ini.   BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...