Lelaki 'Simpan' Bom Selama Dua Tahun
GEORGE TOWN: Seorang lelaki di Taman Lip Sin, Sungai Nibong hari ini hanya menyedari objek dibawa pulang dari rumah datuknya di Lenggong, Perak sejak dua tahun lepas sebenarnya sebutir bom.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Mior Faridalathrash Wahid berkata objek itu ditemui semula pada pukul 2.30 petang tadi ketika lelaki berkenaan mengemas barang di rumahnya.
"Dia yang curiga dengan bentuk objek itu menghubungi polis dan sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom telah ke rumah lelaki itu dan siasatan mengesahkan ia adalah bom jenis Illuminating 81mm kaliber," katanya ketika dihubungi.
Lelaki berusia 31 tahun itu pada mulanya mahu menjadikan bom berwarna biru muda itu sebagai bekas abu rokok bagaimanapun dia terlupa dan hanya membiarkan objek itu tersimpan di satu ruang di rumahnya, katanya.
Sementara itu dalam kes lain, Mior Faridalathrash berkata seorang lelaki bersenjatakan pistol menyamun sebuah kedai serbaneka di Jalan Perak, di sini pada pukul 5.30 petang.
Lelaki yang memakai topi keledar cermin gelap meletakkan pistol di atas meja kaunter premis dan mengugut penjaga kaunter kedai itu menyerahkan wang kepadanya, katanya.
Beliau berkata ketika kejadian hanya penjaga kaunter berada dalam kedai berkenaan dan wanita itu yang ketakutan menyerahkan wang kira-kira RM175 kepada lelaki terbabit.
Polis percaya pistol digunakan lelaki terbabit adalah tiruan dan polis kini meneliti rakaman CCTV untuk mengenal pasti identiti penjenayah itu, katanya.