TELUK INTAN: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di sini sekadar meminta supaya pencalonan Dyana Sofya Mohd Daud mewakili DAP tidak dipertikaikan.
Tanpa mengetengahkan isu berkaitan hukum hudud di Kelantan, beliau berkata, calon yang dipilih seharusnya seseorang yang boleh menjadi wakil bagi membawa suara rakyat ke Parlimen.
"Kalau kita cerdik, jangan kita bincang pasal bangsa.
"Kita pilih calon pilihan raya ini sebagai satu amanah," katanya pada majlis minum petang yang turut disertai Dyana di Taman Cicely di sini, Isnin.
Tiada sidang media pada majlis itu kerana waktu suntuk berikutan hampir untuk menunaikan solat Maghrib. Bagaimanapun, Abdul Hadi dijangka hadir pada program ceramah Pakatan Rakyat pada malam Isnin.
Abdul Hadi juga menyifatkan Dyana seorang yang berani kerana mewakili DAP pada PRK Teluk Intan dan seharusnya keberanian itu ditonjolkan di Parlimen mewakili rakyat Teluk Intan.