Translate

09/05/2014

CEO GLC Perlu Nilai Semula Strategi Memartabatkan Melayu



BANYAK SYARIKAT-SYARIKAT DIBAWAH GLC YANG TELAH MENYELEWENG DARIPADA TUJUAN ASAL ???

SURABAYA, 4 Mei (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) perlu menilai semula strategi dalam memartabatkan kedudukan bangsa Melayu yang semakin terpinggir berbanding bangsa lain di Malaysia.

Tokoh pemikir Melayu Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata, kumpulan berkenaan kini dilihat sudah lari daripada peranan mereka membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu yang masih memerlukan bantuan.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) meminta CEO berkenaan memahami aspirasi bangsa Melayu yang memerlukan sokongan daripada mereka untuk bersaing dengan kaum lain.


"Tidak perlu ada mereka (CEO) GLC yang memiliki lulusan dari universiti ternama di dunia tetapi tidak memahami aspirasi orang Melayu. Pemimpin seperti ini tidak sesuai menerajui GLC," katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk "Cabaran Generasi Melayu dalam Perekonomian: Perspektif Pendidikan" bersempena Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa (SePMA) ketiga di sini, Ahad.

SePMA ketiga anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertemakan "Bersatu Mendepani Survival Melayu" itu, dirasmikan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Turut hadir, Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga menyarankan agar pegawai tertinggi GLC diberi pendedahan tentang peranan mereka untuk memartabatkan kedudukan orang Melayu di Malaysia.

Dalam pada itu, Ibrahim yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, pemimpin Umno perlu agresif untuk memenangi hati bangsa Melayu yang sentiasa menyokong parti berkenaan.

"Bukan sahaja bangsa Melayu di Semenanjung, golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga tidak boleh diabaikan. Kita harus memperkasa ekonomi dan pendidikan yang menguntungkan bangsa Melayu dan Bumiputera," katanya.

Beliau berkata pemimpin Umno juga tidak perlu takut dan bimbang dalam menyuarakan hak dan nasib bangsa Melayu yang sememangnya sudah termaktub dalam Perlembagaan.

"Kita bukan mahu ambil hak orang lain sebaliknya kita cuma pertahan hak orang Melayu. Jangan takut dilabel rasis kerana kedudukan orang Melayu harus dimartabatkan," katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata antara objektif penganjuran SePMA itu adalah sebagai platform dalam memperkasa agenda orang Melayu bagi menghadapi cabaran masa depan.

Beliau berkata seminar kali ketiga itu, yang dianjurkan buat pertama kali di luar Malaysia, adalah bagi merapat dan menguatkan kerjasama pemimpin dalam memastikan kesinambungan dasar negara masing-masing, mengutamakan survival bangsa Melayu.

-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...